Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku jadi Tumpuan

By 5 Disember 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 5 Dis (MalaysiaAktif) – Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang sedang berlangsung di perkarangan Dataran Putrajaya, di sini sehingga Ahad ini mula menjadi tumpuan orang ramai dengan pelbagai aktiviti unik yang menampilkan gabungan inovasi dan aspirasi masa depan.

A

Muhammad Firdaus dari Jalan Kebun, Shah Alam.

Bercakap kepada Malaysia Aktif, pengunjung, Muhammad Firdaus Muhammad Aziz, 31, dari Jalan Kebun, Shah Alam hadir ke program itu bagi mendapatkan maklumat berkaitan program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) serta perkembangan terkini penawaran projek perumahan di bawah agensi berkenaan.

Beliau berkata kunjungannya adalah untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai proses permohonan serta pilihan projek perumahan yang ditawarkan kepada penjawat awam.

Katanya lagi, pengisian program seperti pertukaran topi keledar percuma juga mampu menarik minat orang ramai untuk hadir.

Norashikin hadir bagi mengisi masa bersama keluarga sambil melihat pelbagai pameran agensi kerajaan

Sementara itu, Norashikin Isa, 34, dari Kajang pula memberitahu kehadirannya pada program hari ini yang bersekali dengan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 itu adalah bagi mengisi masa bersama keluarga sambil melihat pelbagai pameran agensi kerajaan yang disediakan.

Menurutnya, antara pameran yang paling menarik perhatiannya ialah Pameran Interaktif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disifatkannya sebagai platform bermanfaat untuk memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).

“Paling saya tertarik adalah pameran interaktif TVET. Dekat situ kita boleh tunjukkan kepada anak-anak tentang TVET dengan lebih mendalam. Budak-budak pun suka untuk explore,” katanya.

Beliau berkata pameran itu turut menyediakan pelbagai aktiviti seperti pembinaan robot dan aktiviti interaktif lain yang sesuai untuk kanak-kanak, sekali gus menjadikannya lokasi tumpuan keluarga.

Seorang lagi pengunjung, Azri Noor Mohd Arif, 45, dari Salak Tinggi, Sepang, berkata kehadirannya ke program anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu adalah pengalaman pertamanya menyertai acara berskala besar yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan di bawah satu bumbung.

Azri Noor dari Salak Tinggi, menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang untuk hadir memeriahkan Rancakkan MADANI Bersama Malaysia.

Menurutnya, keluasan kawasan pameran serta jumlah reruai yang banyak memerlukan pengunjung meluangkan masa seharian bagi meneroka semua perkhidmatan yang ditawarkan.

“Ini pertama kali saya datang ke program MADANI di Putrajaya. Besar pamerannya, jadi kalau nak datang tu memang kena satu hari. Ada banyak pameran, perkhidmatan dan reruai kerajaan. Kalau tak pasti, pusing saja dan tanya,” katanya.

Azrinul, berkata program itu turut membuka matanya mengenai pelbagai perkhidmatan kerajaan yang sebelum ini kurang diketahui orang ramai, namun sebenarnya tersedia dan boleh dimanfaatkan.

“Banyak perkhidmatan yang kita orang ramai tak tahu, tapi sebenarnya ada. Di sinilah peluang untuk tanya lebih lanjut atau dapatkan maklumat mengenai peluang-peluang yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang untuk hadir memeriahkan Rancakkan MADANI Bersama Malaysia.

“Jangan lepaskan peluang ini. Sama-sama kita datang memeriahkan Rancakkan MADANI Bersama Malaysia di Putrajaya,” katanya.

Program selama tiga hari itu menjangkakan kehadiran 300,000 pengunjung menerusi keseluruhan pengisian yang menonjolkan usaha memperkukuh perpaduan, Pendidikan, seni dan syiar Islam serta kejayaan pentadbiran Kerajaan MADANI selama tiga tahun.

Orang ramai dinasihatkan merujuk Facebook Perbadanan Putrajaya dan aplikasi Waze untuk notis penutupan jalan serta menggunakan pengangkutan awam seperti tren transit aliran massa (MRT) dan bas ulang-alik bagi memudahkan perjalanan.

-RI

Tinggalkan komen anda