
Laporan/foto: M Zakry Chan
BANDAR MELAKA, 8 Dis (MalaysiaAktif) – Persahabatan sejak 10 tahun lalu menjadi pemangkin kepada dua sahabat karib untuk menceburi perniagaan sambilan di Pasar Karat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka sekali gus menambah sumber pendapatan dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini.

Fandy Azam sedang melayan pertanyaan pelangan.
Bermula dengan minat terhadap barangan vintaj dan aksesori terpakai, kedua-duanya nekad membuka sebuah meja jualan kecil setiap hujung minggu. Tanpa modal besar, mereka memanfaatkan barangan peribadi yang tidak lagi digunakan sebagai permulaan sebelum menambah stok mengikut permintaan pelanggan.
Menurut Amirul Azim, 29, sambutan yang diterima amat menggalakkan walaupun berlangsung pada pagi hari minggu yang kebiasaanya orang ramai lebih suka bersantai bersama keluarga.
Namun, bagi sesetengah orang pasar karat adalah syurga kepada peminatnya.
“Kami ingatkan orang datang sekadar tengok-tengok, tapi rupanya ramai yang benar-benar mencari barang rare dan murah. Dari situ kami nampak potensi untuk kembangkan lagi,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Jualan di Pasar Karat UTC Melaka mendapat sambutan yang mengalakkan.
Sementara itu, Fandy Azam, 34, berkata perniagaan kecil itu bukan sahaja memberi pulangan, malah mengukuhkan hubungan persahabatan mereka yang sudah terjalin lebih 10 tahun.
“Kita bukan saja dapat tambah pendapatan, tapi dapat luang masa bersama. Penat memang penat, tapi seronok sebab masing-masing saling bantu,” katanya.
Pasar Karat UTC Melaka terus menjadi tumpuan pengunjung setiap hujung minggu, khususnya golongan muda dan pemburu barangan unik, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai peniaga kecil untuk mencuba nasib memulakan perniagaan.
-RI





