Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Kutip RM2.6 Juta Hasil Pensijilan Halal, Permohonan Meningkat kepada 2,024 Tahun Ini

By 8 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

KOTA TINGGI, 8 Dis (MalaysiaAktif) – Johor mencatatkan kutipan hasil pensijilan Pengesahan Halal sebanyak RM2.6 juta sehingga Jumaat lepas, meningkat berbanding RM2.4 juta pada tahun lalu.

Mohd Fared berkata sehingga November 2025, 68 Sekolah Agama Kerajaan Johor telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada sasaran 153 sekolah tahun ini

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata sebanyak 2,024 permohonan sijil halal diterima pada tahun ini berbanding 1,542 permohonan pada 2023.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 35 hotel di Johor juga telah berjaya mendapatkan Sijil Pengesahan Halal sebagai persediaan menyambut kehadiran pelancong, khususnya pelancong Islam, sempena Tahun Melawat Johor 2026.

“Selain itu, sehingga November 2025, 68 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada sasaran 153 sekolah, dengan baki dijangka menerima sijil berkenaan menjelang penghujung Disember 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Negeri Johor Bil 2/2025, di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Mohd Fared Mohd Khalid, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Negeri Johor Bil 2/2025 yang diadakan di Tunamaya Beach and Spa Resort, Desaru

Mohd Fared berkata pelaksanaan gerak kerja melalui Mesyuarat Task Force Halal yang dianggotai lebih 30 agensi kerajaan dan swasta dijangka membantu negeri Johor mencapai sasaran 500 pemegang Sijil Pengesahan Halal baharu pada tahun ini.

Menurutnya , Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memutuskan bahawa mulai tahun depan, semua agensi di bawah Portfolio Hal Ehwal Agama termasuk anak syarikat wajib melantik pembekal makanan bersijil halal bagi memperkukuh ekosistem halal negeri.

“Pembekal makanan diberi tempoh tiga hingga enam bulan untuk memohon Sijil Pengesahan Halal dan kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan kelayakan mereka sebagai pembekal di agensi agama,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nasri Md Ali, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ) Shubanah Yusuf dan Penasihat MAINJ Datuk Dr Noh Gadot.

-AA-

Tinggalkan komen anda