Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pak Tam Pisang Cheese Mergong Terus jadi Tumpuan Sejak Lima Tahun Lalu

By 8 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)

ALOR SETAR, 8 Dis (MalaysiaAktif) – Gerai pisang goreng Pak Tam Pisang Cheese yang diusahakan oleh Mohd Syakir Abu Bakar di Taman Rakyat Mergong, di sini terus menjadi tumpuan warga setempat sejak lima tahun lalu kerana menawarkan pelbagai pilihan rasa yang menjadi kegemaran ramai.

Pelbagai pilihan perasa.

Beroperasi setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang, gerai ini menjadi antara lokasi pilihan penduduk untuk mendapatkan snek petang yang rangup, manis dan penuh kelazatan.

Keistimewaan gerai ini terletak pada penggunaan pisang yang segar, digoreng garing sebelum disalut dengan aneka sos dan taburan cheese yang memikat selera.

Pengusahanya, Mohd Syakir, 27, berkata sambutan pelanggan sejak mula berniaga pada tahun 2020 sangat memberangsangkan dan mendorongnya untuk menambah lebih banyak variasi perisa bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Selain perisa asal dan cheese, kami juga sediakan beberapa lagi pilihan perisa yang menjadi pilihan pelanggan tetap di sini. Alhamdulillah, sokongan mereka buatkan saya terus bersemangat untuk berniaga,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Pisang yang baru siap digoreng.

Menariknya, gerai ini bukan sahaja menjadi pilihan penduduk setempat, malah turut dikunjungi pelanggan dari kawasan sekitar Mergong dan Alor Setar yang sanggup datang semata-mata untuk menikmati keenakan pisang goreng keju yang ditawarkan.

Dengan harga yang berpatutan dan layanan mesra, gerai Mohd Syakir terus menjadi salah satu destinasi wajib singgah bagi peminat pisang goreng di kawasan Alor Setar.

-RI

Tinggalkan komen anda