Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Tiga Hari Sambutan Luar Biasa, Rancakkan MADANI Terima 502,804 orang Pengunjung

By 8 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/JAPEN

PUTRAJAYA, 8 Dis (MalaysiaAktif) – Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 (Program Rancakkan MADANI) menerima sambutan luar biasa apabila menerima 502,804 orang pengunjung.

Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan turut meluncurkan beberapa inisiatif baharu antaranya Sahabat Penggerak MADANI, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, Pekeliling ILTIZAM, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), Modul Latihan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) serta Buku Malaysia Merdeka.

Semalam, selepas merasmikan majlis penutup program Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji penganjuran program tersebut yang dilihat berjaya menjelaskan hasrat kerajaan dengan baik dan menonjolkan semua pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun pentadbiran.

“Hasrat penganjuran acara seumpama ini adalah bertujuan untuk menyantuni seluruh lapisan masyarakat yang berbilang kaum dalam satu program.

“Saya hendak beri kredit kepada siapa ni? Tahniah,” katanya.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa program ini membolehkan pelbagai perkhidmatan, manfaat dan inisiatif kerajaan disampaikan secara terus kepada rakyat di satu lokasi.

PACU memaklumkan program anjurannya dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu turut merekodkan pelbagai pencapaian ketara termasuk kutipan jualan MADANI berjumlah RM2,150,608 yang merangkumi jualan Usahawan, jualan RAHMAH, Jualan Agro, Pesta Rasa @ Selera Malaysia, dan Trak Makanan.

Manakala inisiatif Padanan Perniagaan pula katanya mencatatkan nilai melebihi RM400,000.

“Program Rancakkan MADANI membawakan kira-kira 500 pengisian program merangkumi lapan segmen iaitu Belia MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, ARPA, Produk Rakyat MADANI, Ukhuwah Rakyat MADANI, Jualan MADANI, Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Kepengerusian ASEAN dan Diplomasi MADANI,” menurut kenyataan itu.

Rancakkan MADANI turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Amar Fadillah Yusof.

Turut hadir barisan Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta barisan kepimpinan tertinggi Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri.

-RI

Tinggalkan komen anda