Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Ibarat Mimpi Serahkan Jalur Gemilang kepada Orang Nombor Satu Negara

By 17 September 2016September 19th, 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Chua Shim Choo (Bintulu)

BINTULU, 17 Sept (Malaysiaaktif) – Saya rasa ibarat mimpi dan satu anugerah yang besar apabila terpilih untuk menyerahkan Jalur Gemilang kepada orang nombor satu Malaysia, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebentar tadi.

Ketua Aktivis Sehati Sejiwa Jabatan Penerangan Malaysia, Izuandy Yassin, 35, berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Lama Bintulu sempena Sambutan Hari Malaysia 2016 yang berlangsung semalam.

Saat Izuandy menyerahkan Jalur Gemilang kepada Perdana Menteri

Saat Izuandy menyerahkan Jalur Gemilang kepada Perdana Menteri

Tambahnya, saya berasa bangga kerana bukan senang nak dapat peluang sebegini. Daripada ribuan penduduk yang ada di Bintulu ini, saya yang terpilih.

“Memang berdebar. Saya sebenarnya pada mulanya menerima tawaran sebagai Ketua Sorakan bagi Aktivis Sehati Sejiwa, tetapi kemudiannya mendapat panggilan mengejut daripada pihak penganjur.

“Ada berita baik. Anda terpilih sebagai Ketua Aktivis untuk menyerahkan Jalur Gemilang kepada Perdana Menteri. Jadi atas kepercayaan yang diberi, saya terima dengan rela hati bagi mewakili seluruh warga Bintulu,” ujarnya yang bangga menjadi anak jati Bintulu berbangsa Melanau.

Izuandy, anak jati Bintulu juga merupakan Ketua Aktivis Sehati Sejiwa

Izuandy, anak jati Bintulu juga merupakan Ketua Aktivis Sehati Sejiwa

Izuandy juga berpendapat sejarah lima tahun lepas ibarat berulang kembali apabila Bintulu dipilih sekali lagi sebagai tuan rumah Hari Malaysia tahun ini.

“Lima tahun lepas juga saya bertugas sebagai sukarelawan. Apa yang saya lihat, tahun ini jauh berbeza dari segi sambutan dan kehadiran ribuan pengunjung. Mungkin ini ibarat suatu penghargaan kerana jika dahulu sambutan memang cukup hebat pastinya masing-masing mahu buat lebih hebat tahun ini.

“Dari hari pertama sehingga hari ini, sejak raptai sehinggalah Pertandingan Bot Laju yang diadakan, saya bangga melihat komuniti di sini. Ada yang bawa bekalan masing-masing, sanggup masak awal pagi dan bawa turun padang bersama keluarga serta rakan-rakan.

Aksi Iswandy bersama dengan kumpulan aktivis yang mengibarkan Jalur Gemilang semalam

Aksi Iswandy bersama dengan kumpulan aktivis yang mengibarkan Jalur Gemilang semalam

“Saya dengan isteri dan tiga anak telah datang sejak awal pagi tadi. Sambil berjalan saya ada ambil gambar. Saya sangat terkejut melihat kehadiran ramai penduduk Bintulu yang sanggup bawa tikar, bawa anak-anak malah ada yang berkerusi roda. Malam ini pun saya perhatikan masing-masing sanggup berdiri di sepanjang kawasan Lapangan Terbang lama ini bagi menghayati erti Hari Malaysia sebenar.”

“Yang pasti mereka ini datang sebenarnya semata-mata nak melihat pemimpin nombor satu Malaysia iaitu PM dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang merupakan idola bagi warga Sarawak,” ujarnya yang turut menjadi Ketua Aktivis Sehati Sejiwa.

Bertemakan Sehati Sejiwa, Hari Malaysia 2016 telah berlangsung dengan meriah semalam dengan kehadiran lebih 12 ribu pengunjung.

Tinggalkan komen anda