
Pelapor/foto: Mohammad Rosiah Ahamed (Hulu Perak)
LENGGONG, 8 Dis (MalaysiaAktif) – Inisiatif menjadikan Kampung Temelong sebagai Kampung Angkat MADANI (KAM) Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) penting bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir dalam arus pembangunan negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan komuniti bagi menjayakan agenda pembangunan yang inklusif.

Menurut Dr. Shamsul, pentingnya kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan komuniti.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis peluncuran Kampung Temelong sebagai KAM JBSN bersama Ketua Pengarah JBSN Azura Abidin, di sini semalam.
Sementara itu, Azura berkata Kampung Temelong dipilih berikutan potensi besar Pulau Temelong sebagai destinasi pelancongan desa dan rekreasi air.
“Permintaan terhadap aktiviti seperti berkayak, berakit dan memancing di lokasi ini semakin meningkat, malah tempahan bagi Januari hingga Februari 2026 dilaporkan telah penuh.
“Program KAM diterajui JBSN dengan sokongan pelbagai agensi persekutuan, negeri dan rakan komuniti, selaras dengan nilai Kesejahteraan, Kemampanan dan Ihsan yang menjadi teras Malaysia MADANI,” katanya.

Dr. Shamsul ketika melawat pameran produk Kampung Temelong.
Menurutnya, lebih 10 skop kerja telah disiapkan dengan nilai hampir RM1 juta merangkumi naik taraf dan pembaikan jeti, deck (geladak), jalan, kemudahan asas, pemasangan lampu solar serta penyelenggaraan landskap.
“JBSN yakin bahawa pendekatan Whole of Government (pendekatan keseluruhan kerajaan) serta sokongan kukuh komuniti akan menjadikan Kampung Temelong sebagai model pembagunan luar bandar MADANI yang progresif, sejahtera dan mampan,” katanya.
Pelaksanaan KAM merupakan usaha kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan luar bandar melalui penyertaan pelbagai agensi kerajaan, rakan strategik dan komuniti setempat.
-RI





