
Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)
TANGKAK, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) meneruskan komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat melalui Program Penyampaian Bantuan Wakalah Zakat di daerah ini, melibatkan 20 penerima daripada Kampung Hujung Tambak.
Pengerusi Lembaga Pengarah LPJ Dr. Rosnan Fathial berkata agihan wakalah zakat merupakan amanah besar yang dipikul oleh LPJ dalam memastikan hasil pendapatan syarikat dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Dr. Rosnan, berkata agihan wakalah zakat merupakan amanah besar yang dipikul oleh LPJ.
“LPJ amat bersyukur kerana hasil pendapatan syarikat terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 dan sebahagian daripada rezeki ini sememangnya hak mereka yang memerlukan. Kami hanya melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Semoga sumbangan ini mampu mengurangkan beban penerima dan memberikan mereka semangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan tersebut di Balai Raya Hujung Tambak Gersik, di sini semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa LPJ akan terus memperkukuh agenda kebajikan melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti LPJ CARES, selain memperluaskan manfaat zakat kepada lebih ramai asnaf di Johor pada masa hadapan.

Pemberian bakul makanan kepada asnaf.
Keseluruhannya, seramai 200 asnaf di seluruh daerah Tangkak bakal menerima manfaat menerusi program agihan zakat LPJ bagi tahun ini.
Turut hadir Pentadbir Tanah Daerah Tangkak Ab Rahman Mohamad @ Ismail selaku wakil rasmi Pegawai Daerah, Ahli Lembaga Pengarah Pelabuhan Johor Ts. Dr. Mohd Zuhan Mohd Zain, Penolong Pengurus Besar Khidmat Korporat dan Pembangunan LPJ Norazlin Yusof dan Amin Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Daerah Tangkak Ahmad Fadzil.
-RI





