Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

FMIS 2025 Pacu Inovasi dan Kerjasama Strategik ke Arah Masa Depan Lestari

By 10 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Program Faculty of Management Industry Summit (FMIS) 2025 anjuran Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan merangkumi industri, komuniti serta institusi pendidikan dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik.

Bengkel Power BI dan Pemasaran Digital ini melengkapkan peserta dengan kemahiran analitik data, visualisasi maklumat dan strategi pemasaran digital berasaskan teknologi semasa.

Bertemakan ‘Forging Partnerships, Driving Innovation, Shaping Sustainable Futures’, program berkenaan menekankan kolaborasi berimpak tinggi bagi menghadapi cabaran transformasi digital, agenda kelestarian dan dinamik sosioekonomi semasa.

Dekan Fakulti Pengurusan Prof. Dr. Ahmad Jusoh berkata penganjuran FMIS 2025 bertujuan memperlihatkan bagaimana semua pemegang taruh dapat bergerak seiring dalam memperkukuh usaha kelestarian di peringkat negeri Johor.

“Peranan fakulti adalah mempromosi nilai kelestarian melalui platform persidangan dan forum. Pada masa sama, kita memberi pendedahan kepada pelajar untuk mengenali fakulti serta membuka ruang kepada staf bagi membentangkan projek penyelidikan kepada rakan kolaborator berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut di Dewan Konvensyen Fakulti Pengurusan, di sini semalam.

Segmen Student Innovation Competition menjadi pentas utama kepada para pelajar UTM untuk menzahirkan idea dengan penuh keyakinan.

Mengulas pencapaian graduan, beliau memaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran pelajar fakulti itu kekal memberangsangkan sejak lima tahun lalu.

“Hampir 100 peratus graduan berjaya menempatkan diri dalam sektor pekerjaan yang selaras dengan kelayakan masing-masing.

“Bagi mengukuhkan lagi kredibiliti kebolehpasaran, kita turut menyediakan Mini Pameran Kerjaya untuk membantu pelajar memahami industri yang berpotensi menjadi kerjaya mereka pada masa hadapan,” katanya.

FMIS 2025 turut menampilkan pelbagai pengisian utama dan menarik termasuk Forum Industri, Bengkel Power BI, Bengkel Pemasaran Digital, segmen Business Pitching dan Student Innovation Competition.

-RI

Tinggalkan komen anda