Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Johor Terima RM107.68 Juta Peruntukan Perumahan Daripada KPKT

By 10 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Mohd Jafni Md Shukor (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM107.68 juta kepada kerajaan negeri Johor bagi Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).

Menterinya Nga Kor Ming berkata sejumlah RM20.58 juta disalurkan kepada negeri ini di bawah RMK-12 manakala untuk tahun semasa, sebanyak RM5.1 juta diluluskan untuk pelaksanaan 18 buah projek perumahan baharu.

Nga turut beramah mesra bersama salah seorang penduduk PPR Larkin, semalam.

“Melalui PPP, KPKT telah berjaya menyediakan kemudahan yang lebih selamat dan moden sepertimana di Rumah Pangsa Awam (RPA) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di Larkin, Johor Bahru ini melalui penggantian empat lif bomba dan empat lif penumpang dengan peruntukan sebanyak RM4.84 juta menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

“Selain itu, peruntukan Projek Residensi Rakyat (PRR) Larkin bernilai RM82 juta telah diluluskan bagi memastikan penyediaan perumahan berkualiti dan mampu milik untuk Bangsa Johor selaras dengan agenda Reformasi Perumahan MADANI,” katanya ketika lawatan kerja di Larkin, di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata peruntukan RM2.4 juta turut disalurkan KPKT bagi kerja-kerja penggantian lif di RSK Larkin.

Nga membuat tinjauan bangunan RSK Larkin bagi melihat kerja-kerja penggantian lif yang sedang dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM2.4 juta daripada KPKT.

“Usaha ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk di samping mempercepatkan proses pemulihan infrastruktur rumah berstrata yang telah lama menjadi perhatian.

“Kerajaan Johor menghargai hubungan kerjasama erat bersama KPKT supaya lebih banyak komuniti perumahan dapat dipulihkan, sistem penyelenggaraan perlu diperbaiki dan mutu kehidupan rakyat terus meningkat bagi memastikan semua manfaat yang diterima dengan hati terbuka,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) Datin Paduka Suhailizan Suliman.

-RI

Tinggalkan komen anda