
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 10 Dis (MalaysiaAktif) – U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai entiti utama dalam memperkasakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan komuniti, termasuk murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di seluruh Sabah.
Ketua Sektor Reka Bentuk Pameran Saidah Mat Salleh berkata hubungan antara Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) dengan komuniti sering berdepan cabaran daripada segi penyelarasan.
“Justeru, U-Science berfungsi sebagai penghubung penting yang memastikan kerjasama dapat dijalankan secara lebih teratur dan berkesan.
“U-Science juga bertindak sebagai rakan strategik sekolah dengan menyediakan bimbingan, kepakaran serta platform rujukan bagi melaksanakan pelbagai program pendidikan dan aktiviti yang menyokong usaha kementerian,” katanya ketika ditemui semasa rakaman program FYI@JAPEN, di sini pada Isnin.

Saidah ketika ditemu bual dalam program FYI@JAPEN Sabah.
Menurutnya, bagi memastikan pembudayaan STEM dapat diperluas, U-Science melaksanakan dua pendekatan utama menerusi program jangkauan luar (outreach) ke sekolah dan komuniti serta program jangkauan dalam yang diadakan di kampus UMS.
“Antara aktiviti utama yang ditawarkan termasuk pameran STEM, bengkel robotik, bengkel Arduino, seminar pengukuhan sains dan matematik, serta ceramah bersiri melalui program tahunan STEM Speaker Series.
“Penampilan ikon dan tokoh terkenal dalam dunia STEM, termasuk ahli akademik UMS serta tokoh nasional seperti Tan Sri Dr. Mazlan Othman turut mewarnai sesi ceramah bagi memberi inspirasi kepada para pelajar dan masyarakat,” katanya.
Tambahnya, pada tahun ini U-Science turut menganjurkan pertandingan Storyboard STEM peringkat negeri yang disertai pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Karya pemenang kemudian diterjemahkan ke dalam bentuk Braille dan audio bagi manfaat murid berkeperluan khas seperti pelajar kurang upaya penglihatan dan pendengaran,” jelasnya.
Beliau berkata pendekatan interaktif menjadi elemen penting U-Science dalam menarik minat pelajar terhadap STEM, memandangkan sebahagian besar pelajar kurang mendapat pendedahan dan peluang untuk mengalami aktiviti STEM secara praktikal.
-RJ-





