Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pelajar UCSF Jalani Praktikal Restoran Sebagai Persediaan Industri

By 10 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sunday Grace Justimus (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 10 Dis (MalaysiaAktif) – Di sebuah restoran dan kafe latihan yang dinamakan Ijau, bersempena konsep hijau yang diterapkan oleh University College Sabah Foundation (UCSF), pelajar Diploma Hotel serta Ijazah Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan berpeluang mempraktikkan penyediaan hidangan, penyusunan meja makan dan pengurusan pelanggan seperti operasi sebenar industri.

Kaedah ini membolehkan pelajar mengasah kemahiran praktikal sebelum melangkah ke dunia kerja dalam sektor hospitaliti dan pelancongan.

Pensyarah UCSF, Paveethra Pulpanathan berkata pelajar mengikuti latihan praktikal penyediaan makanan dan minuman, table setting, penyusunan peralatan, serta aspek perkhidmatan restoran dan penyediaan makanan pada setiap hari Isnin hingga Rabu.

Paveethra sedang memerhati serta membimbing para pelajar sepanjang sesi latihan amali di Mock Restaurant & Café Ijau.

“Daripada hanya belajar melalui buku, di sini mereka belajar secara praktikal. Apabila mereka menjalani latihan industri nanti, mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

“Sesi latihan ini turut digabungkan dengan tugasan berkumpulan, di mana pelajar mengendalikan tempahan sehingga 20 pelanggan dalam satu sesi. Di sinilah kualiti latihan mereka diuji kerana mereka perlu mengendalikan servis untuk 20 pelanggan pada waktu yang sama, termasuk persembahan muzik secara langsung oleh pelajar sendiri,” katanya ketika ditemui di Mock Restaurant & Café Ijau, UCSF, di sini pada Isnin.

Selaras dengan nama dan konsepnya, restoran latihan ini turut menerapkan amalan lestari dengan meminimumkan penggunaan plastik sebagai sebahagian daripada pendidikan kelestarian kepada pelajar.

Suasana pembelajaran di Mock Restaurant & Café Ijau, restoran latihan UCSF yang melatih pelajar menguasai kemahiran hospitaliti sebenar.

“Kami cuba mengurangkan penggunaan plastik dan menggunakan bahan yang lebih mesra alam. Ini adalah nilai yang ingin kami tanamkan kepada pelajar untuk diamalkan dalam industri pada masa depan,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat, khususnya ibu bapa dan pelajar, mengetahui kewujudan program latihan seperti ini yang dapat membina keyakinan serta kemahiran sebenar sebelum memasuki industri.

“Industri pelancongan dan hospitaliti ini memerlukan sokongan dan pendedahan awal supaya pelajar lebih bersedia menghadapi realiti kerja,” katanya.

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda