
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Unit Foto JAPEN (Johor)
JOHOR BAHRU, 12 Dis (MalaysiaAktif) – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) secara rasminya memperkenalkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) bagi laluan Kuala Lumpur (KL) Sentral– Johor Bharu (JB) Sentral–KL Sentral bermula hari ini.
Pelancaran perkhidmatan baharu ini merangkumi jajaran 192 kilometer (km) dengan 11 stesen moden, melengkapkan sambungan yang sebelum ini berakhir di Kluang sekali gus menghubungkan Lembah Klang dan negeri berkenaan.

Anthony Loke berkata projek nasional berskala besar ini akan meningkatkan mobiliti rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan ekosistem pengangkutan mampan untuk generasi akan datang.
Majlis disempurnakan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Hadir sama Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penyempurnaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) merupakan detik penting dalam pembangunan rel negara.
“Ia membuktikan keberhasilan kerjasama antara Kementerian Pengangkutan (MOT), Perbadanan Aset Keretapi (RAC), KTMB dan rakan industri dalam membina rangkaian pengangkutan moden dan inklusif,“ katanya ketika ditemui di Stesen Kempas Baru, di sini semalam.
Beliau turut menyatakan projek berkenaan akan meningkatkan mobiliti rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan ekosistem pengangkutan mampan untuk generasi akan datang.

PLBEGJB merangkumi jajaran 192 kilometer dengan 11 stesen moden, direka bagi meningkatkan kapasiti perjalanan, mempercepat operasi rel dan memperkukuh hubungan ekonomi di koridor Johor–Selatan.
Projek nasional berskala besar itu digerakkan melalui kerjasama strategik antara MOT selaku peneraju dasar, KTMB sebagai pengendali perkhidmatan, serta RAC sebagai pemilik aset.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan) Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata perkhidmatan ETS KL–JB adalah lonjakan besar dalam hubungan antara dua wilayah utama negara.
“Ia menawarkan perjalanan lebih cepat dan selesa, sekali gus memacu mobiliti, pelancongan dan aktiviti ekonomi di Johor serta Lembah Klang,” katanya.
Tiket bagi laluan baharu ini bermula pada harga RM82 sehala dan boleh didapati melalui aplikasi KITS Style, kios tiket, serta laman web rasmi KTMB bagi perjalanan sehingga Mei tahun hadapan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC Datuk Azhar Ahmad.
-RI





