
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)
LANGKAWI, 12 Dis (MalaysiaAktif) – Panorama Langkawi Sdn. Bhd. (PLSB) mengumumkan deretan inovasi produk, perancangan tarikan baharu dan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena sambutan ulang tahun ke-23 SkyCab yang berlangsung di sini semalam.
Pemangku Ketua Pegawai Operasi PLSB Ir. Abu Hashim Abd Rahman berkata PLSB bermula dengan dua produk teras iaitu SkyCab dan SkyBridge sebelum berkembang kepada rangkaian tarikan moden hasil inovasi berterusan.

Ir. Abu Hashim, berkata PLSB terus memperkukuh reputasi Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Melalui pembangunan pelbagai produk seperti 6D Cinemotion, SkyDome, SkyRex, 3D Art Langkawi dan Curious Creatures @ Machinchang Petland, PLSB terus memperkukuh reputasi Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengambilalihan penuh PLSB oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada 2012 menjadi pemangkin peningkatan ketibaan pengunjung daripada 895,513 kepada lebih 1.27 juta pada 2019.
“Walaupun pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada sektor pelancongan, PLSB kekal berdaya tahan dan menjadi antara entiti terawal memacu kejayaan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi pada 2021. Syarikat kini menyasarkan sejuta pengunjung pada tahun ini dengan unjuran pendapatan RM89 juta,” jelasnya.
Beliau berkata sasaran itu disokong oleh usaha menaik taraf keselamatan dan pengalaman SkyCab, selain pelaksanaan strategi promosi B2B dan B2C.
“PLSB turut merancang beberapa tarikan baharu termasuk Flying Theater, Motion Dark Ride serta pembangunan produk ekopelancongan berkonsepkan Taman Eko-Rimba Telaga Tujuh.

Antara tetamu yang hadir menjayakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-23 Langkawi SkyCab, semalam.
“PLSB juga memberi tumpuan kepada pengukuhan program CSR melalui lima teras utama yang merangkumi pendidikan, kerohanian, kebajikan komuniti dan kelestarian,” katanya.
Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah PLSB merangkap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LADA (Perancangan dan Pembangunan) Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, Ahli Lembaga Pengarah Nor Adill Bahatim dan Ahli Lembaga Pengarah Nordiana Nordin.
Sambutan ulang tahun itu sekali lagi menampilkan perjalanan panjang SkyCab sebagai ikon pelancongan negara, selain menegaskan komitmen PLSB untuk terus menerajui inovasi, memperkukuh ekosistem pelancongan Langkawi dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
-RI





