
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
RAWANG, 14 Dis (MalaysiaAktif) – Program Semarak Rakyat Komuniti MADANI di Batu Arang berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian menarik yang menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana muhibah dan kebersamaan.

(Dua dari kiri) Lokman menyampaikan Sijil Penghargaan kepada agensi yang menjayakan Kampung Angkat MADANI Batu Arang.
Antara aktiviti yang mencuri tumpuan ialah Larian Warisan, pertandingan mewarna, pelbagai acara sukan dan aktiviti komuniti, selain jamuan rakyat serta pameran pertahanan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai peringkat usia.
Kampung Batu Arang dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI bagi Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan Kementerian Pertahanan Malaysia (STRIDE), selari dengan usaha memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Program berkenaan telah dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, yang menzahirkan komitmen kementerian untuk terus mendekati rakyat melalui inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada komuniti akar umbi.
Menurut beliau, inisiatif Kampung Angkat MADANI merupakan satu bentuk tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan asas serta infrastruktur yang baik, sempurna dan boleh digunakan bersama.

Pertandingan Sepakan Tepat mendapat sambutan pelbagai peringkat umur.
“Menjaga kedaulatan dan keselamatan negara bukan terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan peranan masyarakat.
“Apabila masyarakat memahami asas keselamatan yang baik, kesepakatan dan keharmonian itu secara tidak langsung akan membantu dalam mempertahankan keselamatan komuniti, organisasi dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Perasmian Penutup Program Semarak Rakyat Komuniti MADANI di Padang MPS Batu Arang, semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah STRIDE Nor Azlan Mohd Ramli, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Az’har Samsuri dan Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI Parlimen Selayang Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican.
Tambahnya, inisiatif Kampung Angkat MADANI disifatkan sebagai usaha yang sangat baik dan mulia dalam memartabatkan masyarakat setempat, khususnya dari segi penambahbaikan infrastruktur serta kesejahteraan sosioekonomi penduduk.
-RI





