
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 15 Dis (Malaysiaaktif) – Rancangan Struktur Labuan 2040 dilihat sangat signifikan dalam membawa hala tuju baharu pembangunan di wilayah itu.

Alias (dua dari kanan) menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dan peluncuran Pelan Tindakan Bandar Pintar Labuan 2030.
Ketua Pengarah Perancangan Bandar Dan Desa Datuk TPr Dr. Alias Rameli berkata dasar dan strategi pembangunan yang telah digariskan tidak lari daripada dasar perancangan bandar di peringkat nasional dan perlu dilaksanakan melalui cadangan pembangunan fizikal mahupun inisiatif ekonomi berterusan.
“Projek pembangunan seperti pembinaan Waterfront Labuan fasa 1, perobohan Hotel Labuan, penggunaan semula bangunan dilihat antara inisiatif yang menyokong ke arah pembangunan semula bandar agar Labuan kekal sebagai bandar yang dinamik dan mampan.

Alias (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada wakil agensi yang membuat pameran sempena Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia.
“Rancangan Struktur Labuan 2040 adalah panduan strategik bagi pembangunan jangka panjang Wilayah Persekutuan Labuan yang membawa visi ‘Labuan Sejahtera, Mampan dan Pintar’ menjelang 2040 selari dengan pendekatan perancangan baharu yang memberi tumpuan kepada komuniti sebagai teras utama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dan Peluncuran Pelan Tindakan Bandar Pintar Labuan 2030, di sini semalam.
Jelasnya, Rancangan Struktur Labuan 2040 adalah sebuah dokumen perancangan komprehensif dan menyeluruh yang merangkumi ekonomi, sosial, persekitaran hidup, alam sekitar dan budaya.
“Oleh itu, ia wajar dijadikan asas rujukan kepada semua lapisan masyarakat di Labuan dalam merealisasikan bandar Labuan Sejahtera, Mampan dan Pintar,” katanya.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib.
-RI





