
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/MAIWP Labuan
LABUAN, 15 Dis (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menyalurkan Bantuan Insentif Modal Perniagaan berjumlah RM426,826 kepada 84 orang usahawan MAIWP di wilayah itu tahun ini.

Heliza Helmi antara selebriti yang memeriahkan Karnival Kesenian Islam MAIWP Labuan 2025 dengan sesi perkongsian ‘Perjuangan Yang Belum Selesai’.
Menurut Timbalan Pengurus MAIWP Labuan Mohd Radzaleih Matusin, bantuan itu bertujuan menyediakan asas yang lebih kukuh kepada asnaf untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan jangka panjang.
“MAIWP Labuan juga memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan, bagi tempoh Januari hingga November lepas sejumlah RM5.3 juta diagihkan bagi Bantuan Am Persekolahan untuk memastikan anak-anak asnaf dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa, yakin dan bermaruah, tanpa dibelenggu kekangan kewangan.

Zakat Walk sejauh 4 kilometer menceriakan suasana awal pagi karnival.
“Selain itu, sebanyak RM2.9 juta turut disalurkan bagi Bantuan Am Pelajaran dan Persediaan Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam tempoh yang sama untuk memastikan golongan asnaf tidak tercicir dalam arus pendidikan tinggi, seterusnya membuka peluang kepada mereka untuk meningkatkan taraf hidup melalui ilmu dan kemahiran profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Kesenian Islam MAIWP Labuan 2025, di sini semalam.
Mengulas mengenai karnival itu Mohd Radzaleih berkata ia mencerminkan komitmen MAIWP Labuan dalam mendekati masyarakat melalui pendekatan yang seimbang antara ilmu, kerohanian dan seni Islam.
“Program ini dirangka bukan sekadar sebagai platform hiburan atau pertandingan, tetapi sebagai medium pendidikan yang memberi pendedahan kepada penerima bantuan Baitulmal tentang kepentingan membina jati diri berteraskan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian,” katanya.
-RI





