
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 16 Dis (MalaysiaAktif) – Kementerian Komunikasi mengenal pasti tiga keutamaan bagi tahun hadapan iaitu infrastruktur digital, pembangunan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga dan memperkukuh komunikasi kerajaan agar lebih berkesan dan diyakini rakyat.
Menterinya Datuk Fahmi Fadzil, berkata aspek infrastruktur digital yang merupakan ‘makanan ruji’ kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah fokus utama kementerian pada tahun hadapan.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah umumkan dalam Belanjawan 2026, antara projek utama yang akan dilaksana oleh MCMC dan Kementerian Komunikasi, selain daripada menyiapkan projek Point of Presence (PoP), kita juga akan mula melaksanakan Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa dua yang akan membantu memastikan ada liputan Internet di 2,700 lokasi seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bagi Bulan Disember 2025, di sini hari ini.
Fahmi, berkata kerajaan juga akan memulakan pembinaan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bagi mengukuhkan hubungan digital antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kabel ini akan menghubungkan Sedili di Johor ke Kuching, Bintulu, Sibu, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau sekali gus merapatkan hubungan Internet antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata projek tersebut diharap menjadi legasi jangka panjang kerajaan dalam merapatkan jurang digital dan mengukuhkan hubungan dalam keluarga besar Malaysia.
Menjelaskan keutamaan kedua iaitu pembangunan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga, Fahmi berkata ia dilihat semakin penting sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu negara.
“Ekonomi kreatif merangkumi filem, muzik, fesyen, makanan dan pelbagai produk tempatan yang berpotensi menarik pelancong asing serta menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, agensi seperti MyCreative Ventures (MyCV) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memainkan peranan penting dalam mempromosikan karya tempatan ke luar negara, khususnya melalui penyertaan di festival-festival antarabangsa.
“Namun, fokus utama ekonomi kreatif buat masa ini harus diberikan kepada pasaran Asia Tenggara yang mempunyai keserasian budaya dan potensi pasaran yang besar,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kementeriannya akan terus membantu memperkukuh komunikasi kerajaan agar lebih berkesan dan diyakini rakyat.
Katanya, satu kajian mendapati golongan muda berusia antara 15 hingga 35 tahun memperoleh maklumat terutamanya melalui WhatsApp, TikTok dan Facebook, namun tahap kepercayaan mereka terhadap maklumat di platform tersebut adalah rendah.
“Mereka menerima banyak maklumat, tetapi mereka tidak benar-benar mempercayainya. Sebaliknya, apabila sesuatu maklumat disiarkan di televisyen atau dilaporkan dalam surat khabar, tahap kepercayaan mereka adalah sangat tinggi. Masuk TV (televisyen) dianggap mesti betul, ada dalam surat khabar dianggap terjamin kesahihannya,” katanya.
Keadaan itu, katanya menunjukkan negara kini berada dalam satu fasa evolusi baharu dalam penyampaian maklumat dan kepercayaan komunikasi, sekali gus meletakkan tanggungjawab besar kepada Kementerian Komunikasi.
“Ini adalah tugas hakiki kita, membantu seluruh jentera kerajaan berkomunikasi dengan lebih berkesan dalam landskap maklumat yang semakin kompleks,” katanya.
“Tiada sebarang alasan untuk kita pada tahun hadapan tidak membantu setiap kementerian, setiap menteri, jabatan dan agensi berkomunikasi dengan lebih berkesan. Adakah kita mampu lakukan? Boleh,” katanya.
-RI





