
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 17 Dis (MalaysiaAktif) – Peranan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dalam usaha pendidikan awal berteraskan nilai perpaduan dan pembentukan sahsiah telah melahirkan anak-anak kecil yang berjaya menguasai pelbagai aspek pembelajaran.
Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Perlis Datin Musidah Mohd @ Mohamad berkata kemahiran itu termasuk membaca, menulis dan mengira, serta nilai hormat, kasih sayang, bekerjasama serta hidup dalam kepelbagaian kaum.
“Usaha ini merupakan asas penting yang akan membentuk mereka menjadi warganegara yang matang, berdisiplin dan bersatu padu,” katanya.

Musidah merasmikan Majlis Konvokesyen dan Pertandingan Pintar Kreatif Kanak Kanak Tabika Perpaduan Peringkat Negeri Perlis 2025.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen dan Pertandingan Pintar Kreatif Kanak-Kanak Tabika Perpaduan Peringkat Negeri Perlis 2025 yang berlangsung di Dewan Seri Melati, Beseri, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Pengarah JPNIN Perlis Mohd Norazam Azizan serta Pegawai Penyelaras Tabika Perpaduan Negeri Maznah Yaacob.
Musidah berkata JPNIN sentiasa komited dalam memperkukuh pendidikan awal yang berteraskan prinsip Rukun Negara.
“Melalui Tabika Perpaduan, kita dapat mengukuhkan kefahaman tentang hidup dalam masyarakat berbilang kaum, menghormati perbezaan serta bekerjasama sebagai satu keluarga besar Malaysia MADANI,” katanya.

Para tetamu jemputan dan ibu bapa serta kanak kanak Tabika Perpaduan bergambar kenangan selepas majlis.
Beliau berkata peranan guru Tabika Perpaduan, jasa dan pengorbanan mereka amat dihargai kerana bukan sekadar mendidik malah menjadi pembimbing awal yang mencorak minda dan akhlak generasi masa depan.
Tambah beliau, kesediaan ibu bapa untuk melibatkan diri dalam aktiviti tabika, memastikan kehadiran anak secara konsisten, memberi galakan di rumah serta mengamalkan komunikasi penuh kasih sayang memberi kesan besar terhadap perkembangan anak-anak.
“Semakin kuat hubungan antara tabika dan keluarga, semakin kukuh pembinaan sahsiah dan keyakinan diri anak-anak,” katanya.
Untuk rekod, terdapat 37 kelas Tabika Perpaduan di negeri Perlis dengan seramai 710 orang murid berumur empat hingga enam tahun pada tahun ini.
-RI





