Skip to main content
Rencana & Pendapat

Landskap Kejayaan Tiga Tahun Kerajaan MADANI

By 17 Disember 2025Tiada komen8 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Dis (MalaysiaAktif) — Tiga tahun bukan suatu tempoh yang panjang, namun Malaysia di sebalik pemerintahan sosok Perdana Menteri bernama Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyaksikan limpahan kejayaan dicapai secara satu demi satu.

Meskipun perjalanan Kerajaan MADANI adalah suatu dinamik yang turut menempuh liku, namun kemajuan terus dicapai hari demi hari dan 34.3 juta rakyat bumi bertuah ini ternyata terus menerima manfaat deretan inisiatif yang bukan sahaja menstruktur semula ekonomi, malah membina asas baharu bagi pertumbuhan mapan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam merangka dan melaksanakan sebarang sasaran perubahan yang ingin dilakukan, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ekonomi sentiasa menjadi agenda paling utama. Sepenting mana pun aspek-aspek lain seperti sosial, politik atau alam sekitar, ia tidak akan dapat direalisasikan secara sempurna tanpa asas kewangan yang kukuh.

Oleh itu, fokus utama dalam mana-mana pelan strategik mesti meletakkan pertimbangan ekonomi di posisi terhadapan untuk memastikan keberhasilan serta kejayaan jangka panjang dan hakikat itulah yang ternyata mendasari perjalanan perubahan dipacu Kerajaan MADANI.

“Cita-cita Ekonomi MADANI mengangkat darjat hidup rakyat, menstruktur semula ekonomi bagi melonjak Malaysia sebagai jaguh hebat di rantau Asia.

“Saya mencadangkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara. Ini akhirnya akan memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih bermutu,” kata Anwar ketika meluncurkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 23 Julai 2023.

Kini, setelah beberapa tahun pelaksanaannya, kita dapat menyaksikan bahawa kerangka tersebut berjaya mewujudkan asas yang kukuh dan mampan.

Ekonomi Malaysia Berdaya Tahan di Landasan Kukuh

Kekukuhan ekonomi terbukti melalui peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ketara di mana pertumbuhan suku ketiga 2025 melonjak kepada 5.2 peratus iaitu kadar tertinggi dalam setahun jauh mengatasi pertumbuhan suku sebelumnya (4.4 peratus).

Pada masa sama, keyakinan pelabur kekal teguh apabila negara mencatatkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM285.2 bilion setakat sembilan bulan pertama tahun ini. Ia adalah peningkatan drastik berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang bernilai RM193.7 bilion. Jumlah dagangan negara turut mencatatkan angka yang memberangsangkan iaitu RM2.2 trilion dalam tempoh sama.

Kekukuhan ekonomi terbukti melalui peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ketara di mana pertumbuhan suku ketiga 2025 melonjak kepada 5.2 peratus iaitu kadar tertinggi dalam setahun jauh mengatasi pertumbuhan suku sebelumnya (4.4 peratus).

Semua kejayaan ini bukan datang bergolek. Ia mengukuh kerana disiplin kerajaan dalam menguruskan kewangan negara. Tidak keterlaluan untuk dikatakan Kerajaan MADANI sedang ‘mengikat perut’ dan menguruskan wang negara dengan sangat berhati-hati.

Buktinya adalah apabila jurang hutang negara berjaya dikurangkan secara berperingkat daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada 3.8 peratus tahun semasa. Tidak mahu terus selesa dan berpeluk tubuh, kerajaan menyasarkan angka itu mengecil kepada 3.6 peratus pada tahun hadapan. Hal ini penting, kerana apabila hutang terkawal maka akan ada lebih banyak ruang bagi membantu rakyat.

Kedudukan Daya Saing Negara (WCR) juga melonjak dengan hebat dari tangga 34 pada 2024 kepada kedudukan 23 tahun ini, suatu kedudukan terbaik sejak tahun 2020. Ia mencerminkan momentum progresif dalam agenda pemulihan dan pembaharuan ekonomi negara. Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dilaporkan berkata lonjakan itu turut mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033 seperti yang termaktub dalam Kerangka Ekonomi MADANI.

Azam menambahbaik hidup rakyat turut diberi fokus penuh oleh pentadbiran ini. Kadar pengangguran berada pada paras terendah dalam tempoh 10 tahun, iaitu 3 peratus setakat September lepas, manakala kadar miskin tegar hampir dinoktahkan di paras 0.09 peratus pada 2024 berbanding 0.2 peratus yang direkodkan dua tahun sebelumnya.

Pendapatan rakyat pula secara keseluruhannya meningkat dengan Pendapatan Upah Bulanan Median (Jun 2025) mencecah RM2,864, meningkat berbanding RM2,424 dua tahun lepas. Dengan inflasi yang terkawal pada 1.3 peratus pada Oktober 2025, kejayaan ekonomi ini telah dapat memberikan kesan langsung kepada peningkatan kualiti hidup dan menjamin bahawa kemakmuran negara benar-benar dikongsi bersama oleh 34.3 juta rakyat Malaysia.

Sasaran Tepat Penyasaran Subsidi

Kejayaan ekonomi dan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab ini tidak hanya bergantung kepada kawalan perbelanjaan tetapi juga kepada keberanian Kerajaan MADANI menstruktur semula sistem subsidi negara agar lebih tepat sasaran dan mengurangkan ketirisan.

Dalam tempoh tiga tahun, lima langkah penyasaran subsidi telah diambil secara berperingkat yang ternyata membuahkan hasil apabila jumlah penjimatan signifikan direkodkan mencecah RM15.5 bilion. Antaranya ialah penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik membabitkan anggaran penjimatan RM6 bilion pada 2023, pengapungan harga ayam (RM1 bilion pada Nov 2023), penyasaran semula subsidi diesel (RM5.0 bilion pada Julai 2024), pemansuhan subsidi telur ayam (RM1 bilion pada Mei 2025) dan rasionalisasi subsidi RON95 (RM2.5 bilion pada Sep 2025).

Rasionalisasi subsidi RON95 membawa penjimatan sebanyak RM2.5 bilion pada September 2025.

Penjimatan besar hasil daripada penyasaran subsidi ini tidak menjadi milik mutlak kerajaan sebaliknya dikembalikan semula kepada rakyat. Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 bernilai RM470 bilion Oktober lepas berkata, “Setiap sen yang dijimatkan tidak disimpan, tetapi dikembalikan kepada rakyat, dalam bentuk bantuan tunai, prasarana awam, pendidikan dan kesihatan.

“RM15.5 bilion yang dijimatkan ini bukan angka semata-mata. Ia bermakna lebih banyak sekolah boleh dibaiki, lebih banyak klinik rakyat dibuka dan lebih ramai anak Malaysia mendapat peluang pendidikan yang lebih baik,” katanya.

Meringankan Beban Hidup Rakyat

Kejayaan demi kejayaan hasil reformasi fiskal yang sukar namun berprinsip sehingga mampu menjana ruang kewangan baharu untuk rakyat itu memberi keyakinan kepada Kerajaan MADANI meneruskan program bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang membolehkan setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak menerima maksimum sehingga RM4,600 setahun.

Kerajaan MADANI meneruskan program bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang membolehkan setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak menerima maksimum sehingga RM4,600 setahun.

Anwar juga mengumumkan Penghargaan SARA iaitu bantuan RM100 untuk semua rakyat Malaysia bersempena Hari Kebangsaan ke-68 Malaysia. Perdana Menteri berkata ia merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup selain penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Komitmen Kerajaan MADANI juga terserlah dalam sektor pendidikan dan belia di mana Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dinaikkan kepada RM150 (daripada RM100 pada 2022) dan inisiatif baharu seperti Bas Percuma untuk Penuntut Universiti diperkenalkan tahun ini.

Pada masa sama, kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi pengeluar makanan negara iaitu menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,500 per tan metrik daripada RM1,200 pada 2022 dan Bantuan Khas Pesawah sebanyak RM200 sebulan selama tiga bulan semusim diperkenalkan sebagai bantuan baharu.

Peningkatan bantuan yang disasarkan secara meluas ini menunjukkan bahawa hasil pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan terus kepada sokongan kewangan yang lebih kukuh untuk golongan yang memerlukan.

Komuniti MADANI

Sehingga kini, program Komuniti MADANI juga terus berkembang maju apabila sebanyak 262 kampung terpilih di seluruh Malaysia telah menerima keseluruhan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk 2025 di bawah program Kampung Angkat MADANI. Bagi menangani isu dan permasalahan tempatan secara lebih proaktif, program Santuni MADANI telah berjaya mendaftarkan 408 kampung dan mengenal pasti serta menangani 978 isu yang dihadapi oleh komuniti.

Fokus kepada pembangunan sosial ini diperluas melalui Sejahtera MADANI yang mengumpulkan pelbagai intervensi antara kementerian dan pihak swasta bagi menangani kemiskinan dengan peruntukan sebanyak RM120 juta. Selain itu, usaha turut disalurkan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih lestari terutamanya di luar bandar dan pedalaman melalui Solar MADANI iaitu pemasangan dan penyelenggaraan lampu jalan solar dengan peruntukan RM350 juta untuk 2025.

Inisiatif Komuniti MADANI ini termasuk program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) telah meliputi 10,242 komuniti di seluruh Malaysia.

Secara keseluruhannya, inisiatif Komuniti MADANI ini termasuk program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) telah meliputi 10,242 komuniti di seluruh Malaysia dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM600 juta untuk tahun semasa.

Hakikatnya, kejayaan yang sering kita dengar daripada rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah, keberanian menstruktur semula subsidi sehingga menjimatkan RM15.5 bilion, hinggalah inisiatif untuk memudahkan hidup rakyat seperti bas percuma dan kenaikan harga lantai belian padi hanyalah sebahagian kecil daripada perubahan yang sedang dilakar Kerajaan MADANI. Di belakang tabir, banyak lagi kejayaan yang sedang dilakar yang memperlihatkan kesungguhan pentadbiran hari ini untuk menunaikan amanah rakyat sebaik mungkin.

Dengan asas yang semakin kukuh, rakyat boleh menilai bahawa hala tuju negara berada pada landasan yang lebih jelas. Apa yang mustahak ketika ini adalah memastikan kelangsungan momentum agar setiap yang digariskan dapat berjalan lancar dan pembaharuan yang dirancang dapat menghasilkan impak yang dijangkakan.

Dalam tempoh yang penuh cabaran ini, kerjasama dan kepercayaan antara rakyat serta kerajaan menjadi faktor penting untuk memastikan kestabilan yang telah dibina tidak terhenti separuh jalan. Jadi, teruskan melangkah bersama Kerajaan MADANI demi lebih banyak manfaat untuk kita semua.

-FN

 

Tinggalkan komen anda