Skip to main content
Berita TempatanSabah

Sambutan Krismas Platform Kukuhkan Perpaduan, Cerminkan Keharmonian Rakyat Sabah

By 17 Disember 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Deonalissa Jekee Edin / Vicky Sylvester Matanjang / Mohd Sazwan Roslan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 17 Dis (MalaysiaAktif) – Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Sabah 2025 menjadi platform penting dalam menyatukan rakyat Sabah menerusi semangat muhibah, saling menghormati dan kebersamaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata sambutan itu mencerminkan kematangan sosial serta keindahan keharmonian rakyat Sabah, sekali gus membuktikan bahawa kepelbagaian agama, budaya dan latar belakang bukanlah pemisah sebaliknya menjadi kekuatan yang menyatukan rakyat sebagai satu keluarga besar.

Beliau berkata tema sambutan tahun ini iaitu “Pengharapan Damai dalam Kasih” (Hope for Peace in Love) amat bersesuaian kerana mengajak seluruh rakyat kembali kepada nilai asas kemanusiaan seperti kedamaian, kasih sayang, harapan dan tanggungjawab bersama.

Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Sabah 2025 menjadi wadah memperkukuh nilai kasih sayang, kedamaian dan kebersamaan, selaras dengan tema “Pengharapan Damai dalam Kasih”.

“Harapan merupakan keyakinan bahawa melalui kasih sayang kehidupan yang lebih aman, makmur dan bermakna dapat dibina manakala kedamaian sejati dizahirkan melalui rasa saling menghormati serta diperkukuhkan dengan perbuatan ihsan.

“Kasih sayang pula menjadi asas kepada semua bentuk perhubungan sama ada dalam keluarga, komuniti, masyarakat serta hubungan kita dengan alam sekitar. Inilah falsafah yang ingin kita semai sepanjang penganjuran Sambutan Krismas Sabah 2025,” katanya semasa Majlis Perasmian sambutan berkenaan di Padang Merdeka, di sini, pada Selasa.

Teks ucapan Hajiji dibacakan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.

Dr. Joachim Gunsalam menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Sabah 2025 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Hajiji berkata selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), sambutan itu turut menjadi wadah untuk mengukuhkan nilai perpaduan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, pembangunan yang dihasratkan kerajaan negeri bukan hanya diukur melalui kemajuan fizikal dan ekonomi tetapi merangkumi keharmonian hubungan sesama insan, kekuatan institusi kekeluargaan, keprihatinan sosial serta rasa tanggungjawab bersama.

“Saya amat berbesar hati kerana pelbagai program dan aktiviti telah dianjurkan sepanjang sambutan ini dengan penekanan terhadap aspek keluarga, komuniti dan sosial yang saling melengkapi dalam membentuk masyarakat yang seimbang dan berdaya tahan.

“Sambutan ini mengingatkan kita bahawa keluarga adalah tempat bermulanya kasih sayang dan harapan. Dalam komuniti pula, semangat muafakat dan kerjasama menjadi kunci kepada kehidupan bermasyarakat yang harmoni,” katanya.

Sekitar suasana Sambutan Perayaan Krismas Peringkat Sabah 2025 yang berlangsung meriah, mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian dan muhibah rakyat berbilang kaum serta agama di negeri ini.

Beliau percaya sambutan ini mampu menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat Sabah yang berbilang bangsa dan agama, sekali gus menampilkan wajah sebenar negeri ini yang kaya dengan kepelbagaian, namun kekal bersatu dalam nilai kemanusiaan.

Hajiji turut berharap nilai-nilai murni yang diterapkan melalui sambutan ini akan terus memberi inspirasi kepada rakyat untuk mengekalkan keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negeri.

“Bagi pihak seluruh kepimpinan negeri, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada seluruh rakyat Sabah yang meraikannya,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick dan Menteri-menteri Kabinet.

-RJ-

Tinggalkan komen anda