
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 17 Dis (MalaysiaAktif) – Program Baucar Pelindungan Tenang 3.0 yang merupakan kerjasama strategik antara kerajaan, industri insurans dan takaful membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mendapatkan perlindungan asas insurans pada kos yang lebih mampu milik.

Rosnani, berkata Baucar Pelindungan Tenang 3.0 boleh ditebus sehingga 31 Disember 2025 dan orang ramai digesa agar tidak melepaskan peluang tersebut.
Ketua Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia (BNM) Johor Bahru Rosnani Mahamad Zain berkata penerima STR yang layak akan menerima baucar bernilai RM30 sebagai subsidi kerajaan untuk mengurangkan beban kos perlindungan insurans atau takaful.
“Ini merupakan satu bentuk subsidi yang sangat relevan bagi mengurangkan kos perlindungan kepada mereka yang memerlukannya tetapi mungkin tidak mampu menanggung keseluruhan bayaran.
“Melalui baucar ini, penerima STR berpeluang menikmati perlindungan insurans atau takaful pada kos yang lebih rendah bagi menghadapi pelbagai risiko yang tidak dijangka,” katanya ketika ditemu bual sempena program Influencer@JAPEN Johor: Apa Cerita Ek?, di sini hari ini.

Tenaga kerja program Influencer@JAPEN Johor: Apa Cerita Ek? bersama pegawai-pegawai dari Bank Negara Malaysia (BNM) Johor Bahru.
Rosnani turut memaklumkan bahawa Baucar Pelindungan Tenang 3.0 boleh ditebus sehingga 31 Disember ini dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak melepaskan peluang tersebut.
“Orang ramai boleh menyemak kelayakan dengan melayari laman web www.myptv.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan (MyKad).
“Sekiranya layak, penerima boleh melayari www.mycoverage.my untuk menilai dan memilih daripada 16 produk perlindungan yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan takaful mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya.
Program Baucar Pelindungan Tenang 3.0 dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh tahap literasi dan keterangkuman kewangan, khususnya dalam kalangan kumpulan sasar berpendapatan rendah.
-RI





