
Laporan/foto: Mohd Nizwan Mohd Daini (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 17 Dis (MalaysiaAktif) – Berasal dari kawasan pedalaman Sabah, Dr. Velerie Wheelervon Primus disenaraikan sebagai 50 guru terbaik dunia bagi Global Teacher Prize 2026.
Dikenali sebagai seorang pendidik yang berjiwa besar dalam usahanya membangunkan anak bangsa, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bingkor, Keningau ini komited memperjuangkan pendidikan berkualiti untuk murid neurodiversiti khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar yang berdepan kekangan akses kepada diagnosis terapi serta intervensi awal.
Pencalonan tersebut justeru bukan sahaja mengiktiraf dedikasi dan inovasi dalam pendidikan khas, malah mengangkat suara murid, ibu bapa serta guru-guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman.
Velerie berkata pencalonan tersebut disifatkan sebagai satu amanah besar buat dirinya dengan menjunjung bersama harapan serta harga sebuah pendidikan buat masyarakat nun jauh di luar bandar.

Dr. Velerie bersama murid pendidikan khas, mencerminkan komitmen dan kasih sayang beliau dalam memperjuangkan pendidikan inklusif di pedalaman Sabah.
“Sebagai seorang guru, perasaan saya bercampur antara syukur, rendah hati dan rasa tanggungjawab yang sangat besar. Pencalonan ini bukan tentang saya sebagai individu tetapi tentang anak-anak pendidikan khas, ibu bapa yang tidak pernah berhenti berharap dan guru-guru di pedalaman yang berjuang dalam diam setiap hari.
“Dengan cinta, kepercayaan dan sokongan yang betul setiap anak mampu berkembang. Jika perjalanan kecil saya ini mampu memberi harapan kepada seorang ibu, semangat kepada seorang guru atau masa depan yang lebih baik kepada seorang anak itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Aktif di sini, pada Rabu.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan hak setiap anak mendapatkan pendidikan yang berkualiti, bermaruah dan penuh kasih sayang tanpa mengira latar belakang atau keupayaan.
“Saya berharap pencalonan ini dapat membuka mata dan hati pelbagai pihak agar pendidikan inklusif dapat diberikan perhatian yang serius oleh semua pihak.
“Pencapaian ini sekali gus menjadi inspirasi kepada warga pendidik negara dan membuktikan bahawa dedikasi guru di kawasan pedalaman juga mampu memberi impak di peringkat global,” katanya.
-RJ-





