Skip to main content
Berita TempatanSabah

Krismas Satukan Keluarga, Tradisi Terus Disemai

By 20 Disember 2025Disember 22nd, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Mohd Nizwan Mohd Daini (Penampang)

KOTA KINABALU, 20 Dis (MalaysiaAktif) – Menjelang sambutan perayaan Krismas yang bakal diraikan tidak lama lagi, kemeriahannya bukan sekadar diserikan dengan cahaya lampu dan hiasan dekorasi sebaliknya, perayaan penuh kesyukuran ini turut menjadi medan mengukuhkan nilai kekeluargaan serta semangat kebersamaan yang terus dipupuk dalam kalangan masyarakat.

Rosidahwatty bersama anak-anaknya bersiap menyambut Krismas dengan penuh kegembiraan dan tradisi keluarga.

Bagi Rosidahwatty Jalani, 39, sambutan Krismas kekal sebagai ruang penting untuk keluarga dan rakan-rakan meluangkan masa bersama, di samping menghidupkan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun.

“Pada 21 Disember saya menyambut bersama rakan-rakan, manakala 24 dan 25 Disember pula diraikan di kampung bersama keluarga. Biasanya suami akan mengambil cuti sehingga dua minggu, iaitu hingga ke tahun baharu,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan persiapan menyambut Krismas di sini, pada Khamis.

Menurutnya, hiasan Krismas mula dipasang secara berperingkat sejak Oktober, namun hanya akan ditanggalkan sekitar Mei atau Jun kerana masih digunakan ketika menyambut perayaan lain.

Tambahnya, nilai yang diterapkan oleh generasi terdahulu terus menjadi pegangan dalam kehidupan berkeluarga, khususnya dalam menghargai kepelbagaian kaum dan agama di samping meraikan perayaan Krismas.

Ariston menerima cendera kenangan daripada Pegawai Penerangan Bahagian Media Siber, Mohd Nizwan Mohd Daini sejurus tinjauan persiapan Krismas, kelmarin.

“Orang tua kami dahulu mengajar agar kesatuan dalam keluarga tidak terputus. Kasih sayang itu bukan hanya semasa Krismas, tetapi juga ketika Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Deepavali kerana kami merupakan keluarga berbilang kaum dan agama,” ujarnya.

Sementara itu, Ariston Maxwell, 43, yang bekerja sebagai pegawai bank berkata Krismas merupakan masa terbaik untuk berehat serta meluangkan masa bersama keluarga.

“Saya akan menyambut Hari Natal bersama keluarga dan rakan-rakan, selain mengambil cuti selama seminggu bagi meraikan perayaan ini dengan sebaiknya,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda