
Laporan/foto: M Zakry Chan
DURIAN TUNGGAL, 22 Dis (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Melaka terus proaktif memperkasa kefahaman rakyat terhadap penggunaan teknologi digital seiring perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ahli Dewan Belia Negeri Melaka Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal Muhammad Zulqamar Zainudin berkata program AI Awareness ‘Rakyat Digital Negeri Melaka’ misalnya bertujuan meningkatkan tahap kesedaran rakyat negeri tersebut terhadap penggunaan teknologi berkenaan.

Peserta diberi pendedahan mendalam dalam program tersebut.
“Peserta diberi pendedahan awal mengenai manfaat serta risiko teknologi berkenaan sekiranya tidak digunakan secara beretika dan berhemah, sekali gus membantu masyarakat menyesuaikan diri dengan landskap digital yang semakin berkembang.
“Program ini dengan kerjasama pensyarah dari Fakulti AI Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkumi tajuk pengenalan kepada AI, menguasai konsep asas kecerdasan buatan, aplikasinya dalam kehidupan seharian dan tempoh sejarah perkembangannya,” katanya.

Zulaqamar Zainudin dua dari kira berharap program ini dapat membantu para peserta dikalangan belia bagi meningkatkan kefahaman dalam AI.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program tersebut di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Angkasa Nuri, di sini kelmarin.
Menurutnya lagi, peserta didedahkan dengan penggunaan AI untuk tujuan produktiviti, urusan harian serta urus niaga perniagaan dengan menghasilkan imej, logo dan ilustrasi tanpa kemahiran grafik profesional.
“Para belia didedahkan dengan pendidikan awal AI yang sedikit sebanyak membantu mereka dalam menambah nilai pengetahuan berkaitan teknologi masa hadapan yang dijangka boleh menjana pendapatan baru,” katanya.
-RI





