
Laporan/Foto: Siti Fairuz Ngatenan (Sarawak)
KUCHING, 22 Dis (MalaysiaAktif) – Komuniti Kejiranan Mesra (KJM) Jalan Menggeris terus memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk pelbagai peringkat umur menerusi penganjuran Program Sambutan Hari Keluarga Jalan Menggeris yang berlangsung selama dua hari bermula 20 hingga 21 Disember 2025 di Masjid Al-Quddus, Taman Sri Wangi, di sini.
Program berkenaan dianjurkan sebagai platform untuk menyatukan komuniti setempat di samping memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk kejiranan di bawah Komuniti Kejiranan Mesra Jalan Menggeris.
Pengerusi KJM Jalan Menggeris merangkap Pengerusi Sambutan Hari Keluarga Jalan Menggeris, Profesor Dr. Awang Ahmad Sallehin Awang Husaini berkata, penganjuran program tersebut dirangka khusus bagi mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan merentas generasi, selaras dengan objektif pembangunan komuniti yang digariskan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Prof Dr. Awang menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan mewarna.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang program bagi memastikan penglibatan menyeluruh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
“Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk Pertandingan Mewarna dan Hafazan al-Quran untuk kanak-kanak, Pertandingan E-Sukan bagi golongan remaja, Pertandingan Karom untuk orang dewasa serta Pertandingan Batu Seremban khas untuk warga emas,” katanya ketika ditemui pada program tersebut semalam.
Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran aktiviti berasaskan peringkat usia itu bukan sahaja memberi peluang kepada penduduk untuk berinteraksi, malah mampu mewujudkan suasana harmoni, saling memahami dan menghormati antara generasi dalam komuniti setempat.

Peserta Pertandingan Batu Seremban dalam kalangan warga emas.
Bagi menambah kemeriahan sambutan, program tersebut turut diserikan dengan jualan makanan serta produk tempatan yang diusahakan oleh penduduk dan kariah Jalan Menggeris. Selain itu, Program Jualan Rahmah anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dengan kerjasama Koperasi Kariah Masjid Al-Quddus (KOMAQ) turut diadakan bagi membantu meringankan kos sara hidup penduduk setempat.
Sambutan Hari Keluarga Jalan Menggeris 2025 telah dirasmikan oleh Datuk Dr. Zaiedi Haji Suhaili, Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.6 Tupong yang juga Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan.
Penganjuran program tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Wangi, KOMAQ, Jawatankuasa Masjid Al-Quddus serta KJM di kawasan N.6 Tupong, sekali gus menyumbang kepada kelancaran dan kejayaan keseluruhan program.
-RJ-





