
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Fazli Salleh (Johor)
PASIR GUDANG, 23 Dis (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Johor dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini dalam perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan tren penumpang di laluan landasan kereta api sepanjang 40 kilometer (km) yang menghubungkan Kempas Baru dan Pasir Gudang.

Projek ini bakal melengkapkan rangkaian Komuter Selatan dan mobiliti pelabuhan, dengan potensi integrasi ke sistem RTS Link Singapura pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata inisiatif tersebut bertujuan mengoptimumkan penggunaan landasan sedia ada yang sebelum ini hanya dikhaskan bagi urusan pengangkutan kargo dan pergerakan kontena pelabuhan.
“Langkah ini dijangka mampu memendekkan tempoh perjalanan secara signifikan, di mana perjalanan sejauh 25km hanya akan mengambil masa kira-kira 30 minit dengan menaiki tren, berbanding lebih satu jam menggunakan kenderaan darat pada waktu puncak.
“Transformasi ini sekali gus menjadi penyelesaian efektif dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas yang meruncing di kawasan Pasir Gudang, Masai, Tampoi, dan sekitar Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Fazli berkata projek itu juga merupakan sebahagian daripada pelan perluasan rangkaian rel penumpang di selatan Johor menerusi projek Komuter Selatan yang bakal melengkapkan jaringan mobiliti di kawasan pelabuhan serta potensi sambungan ke sistem Sistem Transit Pesat (RTS) Link ke Singapura pada masa hadapan.

Infrastruktur landasan kini sedia menyokong operasi penumpang dan kargo hasil naik taraf trek, sistem isyarat, serta ciri keselamatan.
Menurutnya, infrastruktur landasan berkenaan telah pun dinaik taraf merangkumi peningkatan trek, sistem isyarat dan struktur keselamatan bagi menyokong operasi penumpang selain kargo.
“Pembangunan beberapa stesen sederhana di sepanjang laluan tersebut turut dirancang bagi memudahkan akses orang awam, sekali gus menjadikannya tulang belakang mobiliti yang kos efektif bagi komuniti pekerja, pelajar, dan penduduk setempat,” katanya.
-RI





