Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Teknologi Nitrogen CPPDC Tangkak Lonjak Nilai Tambah Durian Johor

By 23 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

TANGKAK, 23 Dis (MalaysiaAktif) – Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengedaran (CPPDC) Durian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Tangkak kini mula beroperasi secara berfasa, sekali gus menjadi pemangkin utama dalam usaha memodenkan industri durian di negeri Johor.

Projek Fasa 1 ini melibatkan kerjasama strategik FAMA Johor dan MAPC Sdn. Bhd. menerusi peruntukan RM2 juta oleh kerajaan serta pelaburan RM2 juta daripada pihak swasta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata projek berimpak tinggi ini merupakan langkah strategik bagi menyokong Program Jaminan Bekalan Makanan serta memperluas capaian produk berpotensi tinggi ke pasaran lebih luas.

Menurutnya, pelaburan tersebut memfokuskan kepada pembangunan fasiliti utama dan penerapan teknologi sistem nitrogen yang mampu memproses sehingga 4,320 metrik tan durian setahun.

“CPPDC bukan sahaja bertujuan meningkatkan produktiviti pemprosesan durian sejuk beku premium, malah berfungsi mengurangkan kerugian pasca-tuaian melalui teknologi pemanjangan jangka hayat produk.

CPPDC Tangkak bakal menjadikan Johor hab durian berkualiti tinggi sekaligus melonjakkan nilai ekonomi sektor agromakanan negeri.

“Ia menyediakan kemudahan penyimpanan moden yang mampu dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti pertanian setempat bagi mengelakkan isu lambakan buah pada musim puncak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zahari, projek tersebut merupakan kerjasama strategik antara kerajaan negeri menerusi FAMA Johor bersama MAPC Sdn. Bhd., membabitkan peruntukan kerajaan berjumlah RM2 juta serta pelaburan pihak swasta sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan Fasa 1.

Menurutnya, peranan CPPDC itersebut amat kritikal dalam melindungi kepentingan petani kecil dengan menyediakan akses terus ke pasaran eksport premium yang sukar dicapai secara bersendirian oleh pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

“Langkah proaktif ini dijangka bakal meletakkan Johor sebagai hab utama pengeluaran durian berkualiti tinggi, seterusnya meningkatkan nilai tambah ekonomi sektor agromakanan negeri,“ katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda