
Laporan/foto: Zayana Isa/Syafiq Irman (Pahang)
KUANTAN, 25 Dis (MalaysiaAktif) – Skuad Ihsan MADANI menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Pahang, di sini kelmarin.

Dr. Zulkifli sewaktu berucap di program serahan bantuan Skuad Ihsan MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata Skuad Ihsan MADANI melalui beberapa agensi membawa bantuan berupa 350 bakul makanan, lampin dewasa, kit solat bencana, kit pembersihan diri, sumbangan wang tunai dan lain-lain barangan keperluan.
“Kerajaan MADANI dan agensi perkhidmatan awam khususunya di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedaya upaya menyantuni masyarakat tak kira di mana sahaja dan siap siaga kami itu berterusan dalam bersama-sama meringan beban dalam musim bencana sekarang ini,” katanya, di sini kelmarin.

Pelbagai agensi dan NGO yang terlibat dalam menjayakan bantuan pasca banjir ini.
Beliau berkata bantuan pasca bencana itu juga sangat signifikan dalam konteks semasa yang memerlukan doa, munajat serta kesepaduan rakyat Malaysia agar negara terus diberikan kesejahteraan dan keselamatan sepanjang masa selaras dengan dasar Malaysia MADANI dalam memelihara perpaduan rakyat Malaysia.
Antara agensi terlibat ialah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
-RI






