Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Silat Medium Bentuk Disiplin, Perkukuh Jati Diri Anak Muda

By 25 Disember 2025Disember 26th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 25 Dis (MalaysiaAktif) – Penganjuran kejohanan silat Kejuaraan Ultimate Silat Five Nations merupakan platform terbaik dalam membentuk disiplin tinggi dalam kalangan generasi muda menerusi pematuhan kepada peraturan dan rasa hormat terhadap guru.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata pihaknya mengharapkan anak muda mempunyai jati diri dan teguh dan perkara itu katanya boleh dicapai menerusi penyertaan dalam seni silat.

Kejohanan ini platform terbaik membentuk disiplin dan rasa hormat generasi muda melalui kepatuhan terhadap peraturan.

“Apabila terlibat dalam seni silat, mereka secara tidak langsung mengamalkan asas-asas kehidupan yang baik, patuh pada arahan serta memperkasakan benteng diri daripada pengaruh negatif di luar sana,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut di Kompleks Sukan EduCity, di sini semalam.

Seramai 800 pesilat dari lima buah negara rantau Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Thailand berhimpun bagi mempamerkan ketangkasan masing-masing.

Kejuaraan anjuran Kelab Silat Fatani Johor itu menyaksikan penyertaan jaguh silat dalam kategori silat olahraga dan silat seni yang bertujuan memartabatkan seni bela diri Melayu di persada antarabangsa.

800 pesilat dari lima negara Asia Tenggara berhimpun di Kompleks Sukan EduCity bagi Kejuaraan Ultimate Silat Five Nations.

Sementara itu, pengarah program Azlan A. Rahman berkata kejohanan empat hari bermula Ahad lepas hingga semalam itu merupakan inisiatif penting dalam menerapkan nilai adab dan adat dalam budaya Melayu sejak usia awal.

“Program ini sangat efektif bagi mendidik anak-anak memulakan fasa kehidupan mereka dengan pegangan adab yang tinggi. Kita akan terus memperjuangkan seni silat ini bagi memastikan warisan bangsa kita kekal dibudayakan dan tidak ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata kejuaraan tersebut bukan sahaja menjadi medan persaingan merebut gelaran juara, malah berfungsi sebagai jambatan penyatuan budaya melibatkan pengamal silat dari negara-negara jiran.

-RI

Tinggalkan komen anda