
Laporan/ foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Rosli Yahya
PORT DICKSON, 29 Dis (MalaysiaAktif) – Pemancing dari Kajang, Selangor mencipta kejutan apabila muncul juara Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 selepas berjaya menaikkan ikan geruk seberat 1.2 kilogram di perairan laut berhampiran Pengkalan Sungai Sekawang, di sini semalam.

Faizal bersama pemenang pertandingan Surfcasting Challenge Port Dickson 2025
Kemenangan Muhammad Zakir Arif Rahim, 28, yang menewaskan lebih 500 pemancing membolehkannya membawa pulang wang tunai RM10,000 .
“Saya tidak sangka boleh menang dan ini rezeki hujung tahun untuk keluarga,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli.
Mohd Faizal berkata Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 merupakan antara inisiatif terbaik dalam memperkenalkan destinasi tersembunyi di negeri itu kepada umum sebagai sebahagian daripada pelan promosi pelancongan Negeri Sembilan.

Antara kaki pancing yang turut serta dalam pertandingan
Tambahnya, penganjuran pertandingan lokasi seperti di Sungai Sekawang itu juga amat bertepatan dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026).
“Ia membuka peluang kepada pembangunan ekonomi setempat dan memperkenalkan kawasan luar bandar sebagai produk pelancongan berasaskan alam.
“Manakala, kerajaan negeri juga sedang giat mengenal pasti lokasi permata tersembunyi untuk diketengahkan melalui kempen TMNS2026,” katanya.
Pertandingan itu dianjurkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Linggi dan Nadi Media Events dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Sekawang serta disokong Tourism Malaysia.
-AA-






