
Laporan/ foto: Kartini Abdul Aziz (Muallim)
BEHRANG, 29 Dis (MalaysiaAktif) – Seramai 240 pelajar daripada pelbagai kaum di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang menerima sumbangan baucar pembelian kelengkapan persekolahan menerusi Program Back To School DUN Behrang, kelmarin.

Ucaptama dari ADUN Behrang sempena Program Back to School
Sumbangan oleh Pejabat Khidmat DUN Behrang itu bertujuan bagi meringankan beban ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) menjelang sesi persekolahan baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang Salina Samsudin berkata inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri Perak terhadap kebajikan dan masa hadapan pendidikan anak-anak di negeri ini.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan, malah memberi suntikan semangat kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut, di sini.

Seramai 240 penerima hadir bagi pemberian baucar Back To School
Seorang penerima Norazwa Yaakub, 42, menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas usaha murni tersebut yang disifatkan sangat membantu mengurangkan kos persediaan sekolah anak-anaknya.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai inisiatif berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
-AA-





