
Laporan/foto: Aini (Perlis)/JKKN Perlis
PADANG BESAR, 2 Jan (MalaysiaAktif) – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis menyambut ketibaan tahun baharu dengan penganjuran sambutan khas di pintu masuk antarabangsa Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan Stesen Kereta Api Padang Besar, semalam bagi mengalu-alukan ketibaan pelawat antarabangsa bersempena pelancaran rasmi kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Petugas JKKN Perlis menyantuni kanak-kanak.
Sambutan anjuran Tourism Malaysia diadakan serentak di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di seluruh negara, menampilkan pakaian tradisional serta menonjolkan keramahan dengan menyantuni pelawat antarabangsa di pintu sempadan.
Penglibatan JKKN Perlis yang menonjolkan kreativiti dan kepelbagaian budaya negeri, sejajar dengan usaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dalam mempromosikan negara sebagai destinasi pelancongan inklusif dan berdaya saing.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing dalam satu kenyataan berkata VM2026 bukan sekadar sebuah kempen pelancongan sebaliknya merupakan satu gerakan nasional yang mencerminkan semangat perpaduan, kemesraan serta kepelbagaian kaum dan budaya di negara kita.

Pakaian tradisional etnik di Malaysia diperagakan oleh petugas JKKN Perlis.
“Sambutan ketibaan pelawat pada hari pertama tahun 2026 melambangkan komitmen Malaysia dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang inklusif, kreatif dan mesra pengunjung sepanjang tahun,” katanya.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Tuan Abu Bakar Hamzah dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara Abdul Hadi Che Man.
-RI





