Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

500 Pelajar Parlimen Ledang Terima Sumbangan Kelengkapan Sekolah

By 2 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shahrina Amran (Tangkak)

TANGKAK, 2 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 500 pelajar di sekitar Parlimen Ledang menerima sumbangan kelengkapan persekolahan menerusi Program Jom ke Sekolah 2026 sebagai persediaan memulakan sesi akademik baharu tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkata kerajaan kekal komited menjadikan pendidikan sebagai agenda utama dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi.

Gimik penyerahan bantuan persekolahan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar kepada pelajar.

“Pelaburan dalam pendidikan bukan sekadar membina infrastruktur atau kemudahan fizikal, tetapi ia adalah usaha membangunkan potensi manusia yang mampu menyumbang kepada keluarga, masyarakat, dan negara pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dewan Aspirasi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim menegaskan program tersebut merupakan manifestasi keprihatinan pelbagai pihak dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan akibat kekangan kewangan.

Beliau turut menyentuh mengenai komitmen Kerajaan Malaysia MADANI yang meneruskan pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap pelajar.

“Inisiatif tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM800 juta yang memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara,” katanya.

Nurul Syahimdah Salim (kiri) salah seorang pelajar SMK Parit Bunga bersama ibu mengambil barangan bantuan persekolahan.

Pada majlis tersebut, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut menyalurkan bantuan khas RM180 seorang kepada 500 pelajar sekolah rendah dan menengah di Parlimen Ledang menerusi pengecualian khas daripada peruntukan biasa asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Bantuan ini diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada ibu bapa dan memberi motivasi tambahan kepada anak-anak untuk mengejar cita-cita mereka,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pengurusan Sekolah Muhammad Khairul Nisak Ahmad dan Penghulu Kanan Pejabat Daerah Tangkak Mohd Khaidir Ismail.

-RI

Tinggalkan komen anda