
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 4 Jan (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor mengesahkan telah mengambil tindakan tegas terhadap sebuah stesen minyak susulan aduan di media sosial mengenai kenderaan berpendaftaran asing dikesan mengisi petrol subsidi RON95.
Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo, berkata tindakan pantas tersebut diambil hasil pemeriksaan dan siasatan terperinci ke atas premis berkenaan yang didakwa membenarkan pengisian bahan api tersebut dengan taktik menyembunyikan nombor pendaftaran kenderaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
”Hasil siasatan awal mendapati insiden tersebut berlaku pada Jumaat lepas sekitar jam 10.36 malam di mana pembelian dibuat menggunakan kaedah tanpa tunai di salah satu pam tanpa melibatkan pengesahan identiti di kaunter bayaran.
“Semakan transaksi mendedahkan bahawa hanya sebahagian daripada jumlah pembelian sempat diisi sebelum pengisian tersebut dihentikan sepenuhnya manakala rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian telah diperoleh bagi membantu proses siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Lilis Saslinda menegaskan bahawa satu tindakan kes telah diambil di bawah Pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan yang menetapkan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.
“Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu bagi kesalahan pertama, manakala denda bagi syarikat boleh mencapai sehingga RM2,000,000,” katanya.
Beliau turut memberi amaran keras kepada semua pengusaha stesen minyak agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan undang-undang bagi mengelakkan ketirisan barangan kawalan yang disubsidi oleh kerajaan demi kepentingan rakyat tempatan.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial memaparkan seorang individu yang mengesan perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.
-RI





