Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

I LITE U Tarikan ke Kuala Lumpur Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

By 4 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Hafizee/Muhaimin Musa (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 4 Jan (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim malam tadi melancarkan Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar, I LITE U di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur.

I LITE atau Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi, Eko Mampan ke arah Urbanisasi adalah inisiatif strategik bagi memperindah landskap bandar dan meningkatkan daya tarikan pelancongan global Kuala Lumpur menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026).

Ia menyasarkan ketibaan 28 juta pelancong dan penjanaan RM76 bilion pendapatan negara.

Suasana sekitar program berlangsung.

Anwar dalam ucapan perasmian berkata sektor pelancongan berkembang dan berjaya kerana negara aman sejahtera dalam keadaan rakyat berbilang kaum hidup bersama.

“Industri pelancongan itu sesuatu yang berkembang, tetapi ia berjaya kerana negara ini aman. Ia berjaya kerana semua kaum,” katanya.

Projek anjuran bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan strategik Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang Kuala Lumpur City Centre (BBKLCC), Perbadanan PR1MA Malaysia, YTL Land dan Grab Malaysia itu mencerminkan kerjasama erat sektor awam dan swasta dalam menjayakan agenda pembangunan bandar.

Dalam pada itu, pemilihan Bukit Bintang sebagai lokasi perintis adalah tepat kerana ia merupakan nadi pelancongan, budaya dan ekonomi Kuala Lumpur.

Antara pengunjung yang hadi di Pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar, I LITE U di Pavilion Kuala Lumpur.

Projek berkenaan merangkumi empat komponen utama iaitu Pintu Gerbang (Gateway Lighting) sebagai mercu tanda ikonik, Arca Tahun Melawat Malaysia 2026, serta penaiktarafan lintasan pejalan kaki sedia ada dan baharu dengan pencahayaan yang lebih terang, selamat dan mesra pengguna.

Pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Duta Muhibah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Keselamatan Jalan Raya dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Tan Sri Michelle Yeoh sebagai simbol sokongan tokoh global terhadap usaha Malaysia mempromosikan imej negara di pentas dunia.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Dato’ TPr. Fadlun Mak Ujud.

-RI

Tinggalkan komen anda