
Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)
KUANTAN, 8 Jan (MalaysiaAktif) – Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah oleh Bubbles O2 Sdn. Bhd. (Bubbles O2) bernilai RM20 juta yang dilaksanakan di tanah milik Yayasan Pahang diyakini mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menurunkan tandatangan sebagai simbolik Majlis Pecah Tanah Projek Cari Gali Air Bawah Tanah di lokasi Ladang Gambang, kelmarin.
Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek berimpak tinggi itu selari dengan Aspirasi Pahang 1st yang menekankan pembangunan ekonomi mampan, bernilai tinggi dan memberi pulangan strategik kepada negeri serta rakyat.
“Kerjasama strategik antara Yayasan Pahang dan Bubbles O2 merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri air mineral premium, bermula daripada cari gali sumber air bawah tanah, pemprosesan, pengeluaran sehingga pengkomersilan produk,” katanya kepada media di sini kelmarin.
Tambahnya lagi, projek tersebut melibatkan kawasan seluas 74 ekar di Ladang Gambang Yayasan Pahang dengan kapasiti pengeluaran minimum 14 juta botol setahun dan dijangka mula beroperasi pada Februari tahun hadapan tertakluk kepada pematuhan semua keperluan teknikal, perundangan dan alam sekitar.

Wan Rosdy bersama barisan kepimpinan Negeri Pahang menunjukkan simbol Pahang 1st.
Dalam pada itu, beliau berkata prestasi ekonomi negeri Pahang kekal kukuh apabila berjaya merekodkan pelaburan komited RM18.04 bilion sepanjang tahun 2025, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap kestabilan dasar dan ekosistem perniagaan negeri.
Wan Rosdy berkata melalui penglibatan Yayasan Pahang, pulangan projek akan dimanfaatkan semula bagi menyokong pembangunan pendidikan dan kebajikan rakyat, selari dengan komitmen kerajaan negeri memastikan setiap pelaburan memberi kesan nyata kepada kesejahteraan rakyat.
Projek Cari Gali Sumber Air Bawah Tanah oleh Bubbles O2 secara rasmi dimulakan menerusi Majlis Pecah Tanah di Ladang Gambang Yayasan Pahang, kelmarin.
-RI





