Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerlis

Jabatan Pertanian Perlis Lancar Projek Komuniti 1 Kariah 1 Tanaman

By 8 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

ARAU, 8 Jan (MalaysiaAktif) – Jabatan Pertanian Negeri Perlis bersama kerajaan negeri telah melancarkan Projek Komuniti 1 Kariah 1 Tanaman (1K1T) di setiap kawasan di negeri Perlis bagi memperkasakan penglibatan komuniti setempat dalam aktiviti pertanian secara sistematik, mampan dan berdaya ekonomi.

Tapak semaian dan input pertanian disediakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perlis

Pengarahnya, Hafizuddin Othman berkata antara objektif program tersebut adalah untuk menggalakkan pengeluaran makanan sendiri oleh komuniti setempat serta mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan masjid, dewan dan persekitaran komuniti.

“Antara tanaman yang ditanam adalah seperti kangkung, sawi dan beberapa tanaman lain. Seramai 450 orang peserta terlibat dalam program ini melibatkan 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Perlis.

“Program ini bukan sahaja tertumpu di kawasan kampung, malah turut melibatkan beberapa buah sekolah di negeri Perlis,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di Masjid Muhammadiah, Kampung Guar Gajah, di sini kelmarin.

Beliau berkata pihaknya turut menyediakan beberapa bentuk bantuan bagi menjayakan projek tersebut seperti struktur fertigasi meja, sistem pengairan yang lengkap, input pertanian serta bimbingan teknikal kepada peserta.

Antara hasil tanaman yang ditanam seperti sawi, kangkung dan lain-lain.

“Projek yang bermula pada Oktober lalu ini dijangka mampu menjana pendapatan tahunan sebanyak RM126,000, manakala setiap komuniti dijangka memperoleh sekitar RM2,800.00 setahun,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta projek, Abdul Jalil bin Saibu, 67, dari Kariah Masjid Mahmudah, Guar Gajah berkata seramai sepuluh orang anak kariah masjid terlibat dalam projek berkenaan dengan menggunakan kawasan lapang di belakang masjid bagi mengusahakan tanaman tersebut.

“Kami pada mulanya tidak mahir untuk mengusahakan tanaman ini seperti kangkung dan sawi. Namun, dengan bantuan serta tunjuk ajar daripada pegawai-pegawai Jabatan Pertanian Negeri Perlis, tanaman di projek ini telah mula menunjukkan hasil dan dijangka akan dituai pada Februari nanti,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda