
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 9 Jan (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat melihat serpihan yang disyaki objek dari angkasa, di sini kelmarin.

Baginda Sultan Pahang meneliti bahagian serpihan yang dijumpai.
Serpihan berkenaan yang kini ditempatkan di Balai Polis Nenasi diletakkan di bawah pengawasan rapi bagi tujuan keselamatan serta kajian lanjut oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Baginda Tuanku meluangkan masa kira-kira 20 minit meneliti objek tersebut dari jarak dekat selain berkenan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Penguasa Angkasa dari Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI, Mhd Fairos Asillam.
“Kajian awal yang sedang dijalankan, meliputi analisis rupa bentuk, keadaan semasa serpihan serta andaian lokasi asal objek berkenaan,” kata Fairos sewaktu mempersembahkan taklimat kepada Sultan Pahang.

Objek yang dijumpai oleh orang kampung kini berada di Balai Polis Nenasi.
Difahamkan, objek seberat kira-kira 200 kilogram yang disyaki serpihan fairing rocket itu ditemui oleh penduduk kampung di pesisir pantai Kampung Tanjung Nenasi pada Selasa lalu dan segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Pihak MOSTI kini meneruskan siasatan dan analisis teknikal bagi mengenal pasti secara tepat asal-usul serpihan tersebut sebelum sebarang pengesahan rasmi dibuat kepada orang awam.
-RI





