
Laporan/foto: Khairul Othman/Khairul Nizam (Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 9 Jan (MalaysiAktif) – Majlis Negeri Sembilan Berselawat sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-78 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah berlangsung dengan penuh keberkatan di Padang Awam Seri Menanti, di sini malam tadi.

Kumpulan selawat Ahbabussham, Al-Maqari dan Ar-Rayyan.
Tuanku Muhriz Ibni dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan hadir bersama ribuan rakyat pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus menyerlahkan hubungan erat antara raja dan rakyat.
Program kerohanian tersebut menampilkan pentausiah jemputan, Al-Fadil Habib Nael Tahir serta alunan selawat daripada kumpulan selawat Ahbabussham, Al-Maqari dan Ar-Rayyan yang berjaya menghidupkan suasana majlis dengan pengisian rohani dan kecintaan kepada Rasulullah.

Orang ramai menghayati alunan selawat dan zikir.
Seorang pengunjung, Ahmad Faizal Mohd Noor, 34, menyifatkan penganjuran majlis ini sebagai sangat bermakna.
“Ia mampu menenangkan jiwa dan mengeratkan perpaduan masyarakat, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan syiar Islam dan keharmonian ummah,” katanya.
-RI





