
Laporan/foto: Aini/KPDN Perlis
PADANG BESAR, 13 Jan (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menahan tujuh individu warganegara Thailand dan tempatan kerana dipercayai menjalankan kegiatan penyelewengan 43,500 liter diesel dan minyak masak, semalam.

Pemeriksaan oleh pegawai melibatkan beberapa jabatan berkaitan penguatkuasaan
Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan berkata penahanan dilakukan hasil serbuan pihaknya di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Padang Besar, di sini menerusi Op Bekalan hasil kerjasama dengan Ibu Pejabat KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil operasi pada 12.30 tengah hari itu, sebanyak 43,500 liter minyak diesel dan minyak masak yang disyaki diseleweng telah dirampas dengan jumlah nilai keseluruhan dianggarkan RM823,745.
“Siasatan mendapati modus operandi melibatkan penjualan diesel bersubsidi kepada kenderaan asing serta pembungkusan minyak masak berlabel bahasa Thailand untuk tujuan eksport tanpa lesen sah,” katanya di sini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi bagi melindungi kepentingan pengguna tempatan.

Antara barang yang ditemui ketika Ops Bekalan
Rohaida turut menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan.
“KPDN akan terus mempergiat penguatkuasaan khususnya di kawasan sempadan dan perindustrian bagi memastikan bekalan barang kawalan kekal mencukupi untuk rakyat serta tidak disalahgunakan,” katanya.
-AA-





