
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/KPDN Selangor
SHAH ALAM, 13 Jan (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas sebanyak 21,000 liter diesel yang dipercayai diseleweng dalam serbuan di sekitar Shah Alam, di sini hari ini.

Sebuah lori kontena yang telah diubah suai turut ditahan dipercayai untuk membawa diesel bersubsidi yang diselewengkan
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor Mohd Hanizam Kechek berkata operasi pada 8.30 pagi itu melibatkan 20 anggota termasuk Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor setelah melakukan risikan selama sebulan.
“Serbuan di sebuah premis yang dipercayai menjalankan urus niaga bahan api secara tidak sah itu menemukan sebuah lori kontena tanpa dokumen sah yang membawa barang kawalan berjadual, dipercayai jenis diesel bersubsidi.
“Struktur lori kontena itu turut didapati telah diubah suai dengan pemasangan satu unit Steel Square Tank berkapasiti anggaran 18,000 liter yang disyaki berisi diesel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya merampas lori berkenaan serta dua unit skid tank dengan jumlah keseluruhan diesel mencecah 21,000 liter bernilai RM60,690.
“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan melebihi RM300,000 dan seramai lima lelaki warganegara tempatan berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan serta penjaga premis turut ditahan.
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran serta pihak terlibat,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mempercayai pengubahsuaian dibuat bagi tujuan pengisian diesel dari beberapa stesen minyak berhampiran, susulan penemuan 54 resit pembelian dalam lori berkenaan.
-AA-





