
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 14 Jan (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berharap Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian dapat berfungsi dengan baik, cermat, bebas dan memastikan Internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.
“Insya-Allah jawatankuasa inilah yang akan membantu dan mengawasi serta menerjemahkan, menetapkan apa yang dimaksudkan sebagai kemudahan dalam talian untuk tindakan pihak MCMC,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Menurutnya, satu pertemuan telah diadakan bersama jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara Tan Sri Hasnah Omar Hashim dengan penglibatan Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, semalam.
“Dalam mesyuarat bersama (ini)…kami telah membincangkan beberapa perkara untuk membantu jawatankuasa ini segera bergerak untuk aktif memahami cabaran terkini,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat tersebut turut membincangkan cabaran terkini termasuk perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) yang berkuat kuasa 1 Jan lepas, pelaksanaan Regulatory Sandbox melibatkan platform media sosial serta tindakan penguatkuasaan terhadap aplikasi Grox.
Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuhkan di bawah peruntukan Seksyen 5 ONSA yang berfungsi sebagai badan penasihat strategik tertinggi untuk memandu hala tuju keselamatan dalam talian dipengerusikan Hasnah bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 1 Jan lepas sehingga 31 Disember 2028.
-RI





