
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Terengganu)
DUNGUN, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 bagi setiap murid yang diagihkan sejak 11 Jan lepas disambut baik ibu bapa, sekali gus membantu meringankan beban kewangan.
Bantuan tersebut memberi kelegaan khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana dalam menyediakan kelengkapan asas persekolahan menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun ini.
Seorang penerima, Nafizah Mohamad, 28, berkata bantuan itu amat membantu keluarganya yang mempunyai dua orang anak bersekolah.

Nafizah berkata, bantuan ini dapatlah membantu menampung perbelanjaan dua orang anak yang masih bersekolah
“Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat menampung keperluan asas sekolah anak-anak tanpa terlalu membebankan kewangan keluarga dan saya berharap agar bantuan ini dapat diawalkan sebelum sesi persekolahan bermula,” katanya kepada MalaysiaAktif di sini, kelmarin.
Peniaga kedai makan, Malaina Abdullah, 48, menyifatkan BAP sebagai satu inisiatif yang wajar dan mencerminkan keprihatinan kerajaan MADANI terhadap kebajikan rakyat.
“Jumlah RM150 ini amat bermakna bagi ibu bapa. Ia bukan sahaja membantu membeli kelengkapan sekolah, malah menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap pendidikan dan kebajikan anak-anak,” katanya.
BAP dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam membantu murid memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersedia.
-AA-





