
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/JAS Johor (Johor)
JOHOR BAHRU, 15 Jan (MalaysiaAktif) – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor telah mengeluarkan sebanyak 580 syor kompaun berjumlah RM1.16 juta melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) sepanjang tahun lepas.
Pengarahnya, Dr. Mohd Famey Yusoff berkata jumlah tersebut hasil daripada 13 siri operasi intensif yang merangkumi Op Lembangan, Op Gempur, dan Op Air Raya yang dijalankan secara konsisten di seluruh negeri.
“Sebanyak 590 premis telah diperiksa merangkumi sektor industri, premis berlesen, serta loji kumbahan bagi memastikan pematuhan tahap tertinggi terhadap undang-undang alam sekitar.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, JAS Johor telah mengeluarkan 530 Arahan Lapangan dan 200 Notis Arahan, selain melaksanakan 24 Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap peralatan yang dikenal pasti sebagai punca pencemaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya tetap mengimbangi aspek penguatkuasaan dengan elemen pendidikan melalui penyediaan khidmat nasihat dan penganjuran lima siri seminar bagi meningkatkan tahap kesedaran serta tanggungjawab pemain industri.
“Komitmen kami adalah untuk memastikan agenda pembangunan negeri Johor berjalan secara mampan tanpa mengabaikan aspek kelestarian alam sekitar yang menjadi khazanah penting rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang awam agar menjadi mata dan telinga jabatan dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang mencemarkan alam sekitar.
“Aduan boleh disalurkan melalui talian bebas tol 24 jam di 1-800-88-2727, e-mel ke [email protected], atau menerusi portal e-aduan JAS di pautan https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.
-AA-





