Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Projek Jalan Pintas Segamat-Muar Dijangka Siap Februari 2027, Atasi Kesesakan Bandar Tangkak

By 15 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Fazli Salleh (Johor)

JOHOR BAHRU, 15 Jan (Tangkak) – Projek pembinaan jalan pintas baharu yang menghubungkan Segamat dan Muar dijangka siap sepenuhnya menjelang Februari tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek bernilai RM183.88 juta itu dilaksanakan sebagai langkah strategik kerajaan untuk mengatasi masalah kesesakan trafik yang meruncing di antara daerah Muar, Tangkak dan Segamat.

Skop utama projek ini melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 8.1 kilometer dengan spesifikasi empat lorong dua hala

Menurutnya projek yang mula dilaksanakan pada Februari 2022 itu menunjukkan momentum positif dengan kemajuan fizikal mencecah 66.19 peratus setakat Disember tahun lepas.

“Projek ini melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 8.1 kilometer (km) dengan empat lorong dua hala, termasuk empat jambatan dan enam persimpangan berlampu isyarat bagi melancarkan aliran trafik.

“Selain infrastruktur jalan, elemen keselamatan turut diberi keutamaan melalui pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan tersebut bagi keselesaan dan jaminan keselamatan pengguna, terutamanya pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fazli turut menjelaskan bahawa apabila projek tersebut beroperasi kelak, ia akan menjadi pemudah cara bagi penduduk setempat dan pengguna jalan raya untuk memendekkan tempoh perjalanan dari Segamat ke Muar tanpa perlu melalui kawasan tumpuan di Bandar Tangkak.

“Laluan alternatif itu bukan sahaja dijangka mengurangkan masa perjalanan secara signifikan, malah mampu merangsang pertumbuhan ekonomi setempat melalui jaringan perhubungan yang lebih efisien dan selamat,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda