Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2026 Perkukuh Semangat Perpaduan dan Patriotisme

By 17 Januari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Hafizee/Muhammad Azrul (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 17 Jan (MalaysiaAktif) – Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2026 Peringkat Kuala Lumpur menjadi platform menggalakkan pengibaran bendera berkenaan secara meluas di bangunan kerajaan, premis swasta, institusi pendidikan serta kediaman penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata kempen tersebut bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan nilai kebersamaan dan tanggungjawab rakyat dalam memelihara keharmonian Wilayah Persekutuan.

“Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2026 adalah manifestasi semangat perpaduan dan kecintaan kita terhadap Wilayah Persekutuan.

“Ia melambangkan identiti bersama serta komitmen semua pihak dalam menyokong pembangunan yang inklusif dan mampan,” katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut di Taman Tasik Menjalara, di sini hari ini.

Hannah turut menyeru golongan belia dan masyarakat umum agar memainkan peranan aktif dalam menyokong kempen ini dengan mengibarkan bendera secara beretika serta menghormati simbol rasmi Wilayah Persekutuan.

Hannah menyampaikan bendera Wilayah kepada 11 Parlimen di Kuala Lumpur, MPP dan juga beberapa agensi untuk dikibarkan sempena Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2026.

Pelancaran kempen yang bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan, patriotisme serta rasa bangga dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan itu turut diserikan dengan nyanyian lagu Wilayah Persekutuan, persembahan kebudayaan serta penyerahan bendera kepada wakil komuniti, pertubuhan belia dan agensi pelaksana.

Orang ramai digalakkan untuk menyertai kempen ini dan mematuhi garis panduan pengibaran bendera yang telah ditetapkan sebagai tanda penghormatan kepada simbol rasmi Wilayah Persekutuan.

Kempen ini diharap dapat menyemai rasa bangga sebagai warga Wilayah Persekutuan serta memperkukuh semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang.

-RI

Tinggalkan komen anda