Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pendidikan Terus Diperkasa, MB Selangor Salur RM100,000 kepada SMK Taman Melawati

By 18 Januari 2026Januari 20th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

?HULU KELANG, 18 Jan (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Selangor melalui Pejabat Menteri Besar dan Yayasan Menteri Besar Selangor (Incorporate) atau MBI mengumumkan sumbangan RM100,000 bagi menyokong pembangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, di sini.

Amirudin menyampaikan sijil kepada salah seorang pemenang pertandingan yang dianjurkan SMK Taman Melawati.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tersebut bertujuan memastikan sekolah berkenaan mempunyai infrastruktur yang mencukupi serta sokongan lain yang diperlukan bagi keselesaan para pelajar.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa komited dalam memartabatkan institusi pendidikan dan sedia menggerakkan lebih banyak sumber sekiranya peruntukan sedia ada masih belum mencukupi.

“Mana yang tidak cukup, kita akan beritahu lagi. Kita akan cuba gerakkan anak-anak syarikat kerajaan negeri (GLC) ataupun mana-mana pihak lain supaya pembangunan sekolah ini dapat diselesaikan.

“Ini bagi memastikan SMK Taman Malawati dapat menyediakan kemudahan yang lebih selesa untuk anak-anak di Gombak, khususnya pelajar di Taman Malawati dan kawasan persekitaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Kasih anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Melawati di Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati, di sini semalam.

Para hadirin kelihatan terhibur dengan persembahan dan nyanyian Dayang Nurfaizah.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

Tambah Amirudin, kerjasama daripada pelbagai pihak amat penting dalam memastikan agenda pendidikan di Selangor terus diperkasa, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Sumbangan awal RM100,000 itu dijangka menjadi pemangkin kepada kerja-kerja pembinaan dan menaik taraf kemudahan asas di sekolah tersebut dalam masa terdekat.

-RI

Tinggalkan komen anda