Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

18 Kelahiran Dicatatkan di Hospital Pasir Gudang Setakat 15 Januari

By 18 Januari 2026Januari 20th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Ah Soon (Johor)

JOHOR BAHRU, 18 Jan (MalaysiaAktif) – Hospital Pasir Gudang (HPG) mencatatkan pencapaian awal yang signifikan apabila seramai 18 bayi selamat dilahirkan di fasiliti berkenaan setakat 15 Jan lalu, sejak ia mula beroperasi secara berfasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata perkembangan positif itu mencerminkan kesediaan hospital tersebut dalam mengendalikan perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) buat penduduk setempat.

Tian Soon (tengah) berkata Hospital Pasir Gudang mencatat pencapaian awal membanggakan apabila 18 bayi selamat dilahirkan setakat 15 Januari lalu, sejak mula beroperasi.

Beliau juga memaklumkan bahawa Jabatan Kecemasan di hospital itu kini telah mula beroperasi sepenuhnya selama 24 jam bagi memenuhi keperluan rawatan segera.

“Bagi perkhidmatan wad pesakit, sebanyak 80 buah katil telah digunakan setakat ini merangkumi wad lelaki, wanita dan kanak-kanak.

“Selain itu, pusat hemodialisis juga telah memulakan operasi bagi kemudahan pesakit yang memerlukan rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai fasiliti teknikal, Tian Soon menyatakan bahawa Jabatan Radiologi kini dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden yang telah pun digunakan sepenuhnya.

“Manakala bagi bilik pembedahan, beliau menjelaskan ia telah mula berfungsi secara berperingkat dengan tumpuan diberikan kepada prosedur pembedahan kecil buat masa sekarang,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui Hospital Pasir Gudang masih memerlukan penambahan tenaga kerja kesihatan bagi memastikan kualiti perkhidmatan dapat diperkukuhkan ke tahap optimum.

Tian Soon memaklumkan Jabatan Kecemasan Hospital Pasir Gudang kini beroperasi 24 jam sepenuhnya, dengan wad pesakit lelaki, wanita dan kanak-kanak serta kira-kira 80 katil digunakan.

“Penambahan kakitangan adalah penting bagi memperkasakan operasi hospital demi menjamin kesejahteraan serta keselamatan rakyat secara menyeluruh.

“Kerajaan negeri Johor kekal komited untuk terus memperkukuh sistem kesihatan negeri agar kemudahan ini memberi manfaat maksimum kepada penduduk di Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Untuk rekod, Hospital Pasir Gudang mula beroperasi secara berfasa sejak Ogos tahun lepas dan dijangka mengurangkan kepadatan pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta Hospital Sultan Ismail (HSI).

-RI

Tinggalkan komen anda