
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 19 Jan (MalaysiaAktif) – Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang berlangsung dari 17 Jan hingga 28 Feb ini memberi peluang kepada seluruh masyarakat di Pulau Labuan untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui.

Lo Su Fui (tengah) bersama-sama mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan.
“Pengibaran Bendera Wilayah Persekutuan di pusat bandar, kampung-kampung, taman-taman awam, kuaters perumahan kerajaan, terminal feri dan di semua kawasan membolehkan kita semua meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan Labuan.
“Penglibatan komuniti dalam kempen kibar bendera ini juga membuktikan bahawa sambutan Hari Wilayah Persekutuan benar-benar bersifat inklusif dan berteras rakyat selain merupakan pembuka tirai kepada program-program sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026, yang dirangka secara menyeluruh untuk semua warga Wilayah Persekutuan,” katanya semasa Program Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2026, di sini kelmarin.
Sebanyak 12,500 Bendera Wilayah Persekutuan pelbagai saiz telah dipasang dan diedarkan oleh pihak Perbadanan Labuan termasuk pengagihan kepada 27 buah kampung di Pulau Labuan.
Jelasnya lagi, semua pihak turut diajak bersama-sama menyokong pelaksanaan ‘Pencahayaan Wilayah Persekutuan’ yang akan bermula pada 26 Jan hingga 28 Feb ini.

Lo Su Fui (dua dari kanan) bersama para tetamu kenamaan lain memotong salah satu kek dalam Party Cake @Wilayahku
“Ini termasuk pencahayaan di bangunan-bangunan komersial agar memberi impak positif terutamanya di pusat bandar dalam menjadikan sesuatu kawasan itu lebih meriah dan menarik perhatian pengunjung tempatan serta pelancong sekali gus menyokong misi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Program-program sambutan Hari Wilayah Persekutuan juga turut menyumbang kepada kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 seperti Festival Gastronomi Wilayah Persekutuan, FT Triathlon Challenge, Karnival KUL Vibes, KL Fight International Muaythai Challenge, perarakan tanglung FT Sparkling Nite dan banyak lagi yang dianjurkan sepanjang bulan Febuari di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan,” katanya.
-RI






